Isnin, 25 Mac 2013

Jaip :: Sijil halal tiga premis ditarik

Kakitangan Jaip membuka pelekat Halal di dapur hotel berkenaan.

 

KUANTAN, 24 Mar 2013 – Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menarik balik  sijil halal tiga premis berkaitan makanan di daerah ini kerana gagal mengikut spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa agama itu.

 

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal, Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata,  premis terbabit ialah sebuah pusat sembelihan ayam di Kawasan Perindustrian Indera Mahkota, dapur restoran sebuah hotel di Cherating dan terbaru sebuah kilang memproses produk makanan di Kawasan Perindustrian Semambu.

 

Menurutnya, kilang mengeluarkan produk makanan seperti kicap dan cuka itu gagal mematuhi syarat pensijilan yang ditetapkan.

 

Antara kesalahan yang ditemui pegawai pemeriksa ialah ketiadaan pekerja  Islam yang mencukupi di bahagian pengeluaran  penggunaan peralatan yang sinonim dengan minuman keras dan diharamkan di bahagian pengeluaran kilang,” katanya di sini, semalam.

 

Beliau berkata, Jaip sentiasa bertindak tegas bagi memastikan sijil halal yang yang diberikan tidak disalah gunakan sewenang-wenangnya.

 

Malah pihak industri dinasihatkan tidak bersikap sambil lewa mematuhi syarat dan peraturan pensijilan halal dan tidak hanya dipatuhi ketika dalam tempoh  permohonan pemeriksaan sahaja.

 

Noridzuan juga mahu pihak industri peka dengan syarat dan standard pensijilan halal yang ditetapkan.

 

Katanya, lebih penting lagi, pihak pengurusan industri bertanggungjawab memastikan setiap pekerja di premis terutama di bahagian pengeluaran makanan memahami syarat dan peraturan yang berkaitan pensijilan halal.

 

Masalah akan timbul, katanya, jika dalam kalangan pekerja tidak peka syarat pensijilan halal dan melanggar garis panduan pihak berkuasa agama.

 

Akibatnya sijil halal terpaksa ditarik balik dan sudah pasti akan memberi kesan kepada ekonomi mereka kerana menanggung kerugian,” katanya.

 

Walau bagaimanapun, katanya, pihak berkenaan masih boleh memohon semula sijil halal dengan syarat perlu mengikut syarat yang ditetapkan seperti yang sudah termaktub dalam undang-undang Jaip.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan