JAKARTA, 20 Mar 2013 - Indonesia akan mengharamkan penangkapan jerung dan pari besar (manta ray) susulan langkah serupa yang dilaksana oleh pentadbiran wilayah Papua Barat, bagi memulihara haiwan marin itu.
Menteri Kelautan dan Perikanan, Sharif Cicip Sutardjo berkata, kementeriannya sedang menyediakan dekri bagi tujuan itu yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.
Beliau memuji pentadbiran Raja Ampat di Papua Barat kerana melaksanakan dasar tegas dalam mengekang kegiatan memburu jerung dan ikan pari besar.
"Saya sangat berharap tindakan pentadbiran Raja Ampat akan dicontohi rantau lain, terutama kawasan seperti Nusa Tenggara Timur (NTT) dan Nusa Tenggara Barat (NTB) yang menyaksikan ancaman terhadap jerung masih berleluasa," katanya dipetik akhbar harian berbahasa Inggeris, The Jakarta Post pada Rabu.
Penangkapan jerung di perairan timur Indonesia termasuk di wilayah seperti NTT, NTB, Papua Barat dan Papua serta Maluku masih berleluasa, kata menteri itu.
"Jerung berada paling atas dalam rantaian makanan dan kepupusan haiwan ini akan membawa kesan buruk kepada ekosistem kita," katanya. - Bernama


Tiada ulasan:
Catat Ulasan