KUALA LUMPUR, 10 Januari 2013 - LinkedIn, rangkaian profesional terbesar dunia di Internet berkata ia kini memiliki 200 juta ahli di seluruh dunia dan ahli baru yang menyertai rangkaian itu adalah pada kadar dua orang dalam masa sesaat.
Syarikat itu telah menambah 13 juta ahli sejak pengumuman terakhirnya pada 1 November, 2012.
Sejak mencecah ahli seramai 100 juta pada Mac 2011, LinkedIn telah menambah 13 bahasa baru, menjadikan laman itu tersedia dalam 19 bahasa.
Ketika ini, lebih 64 peratus ahli LinkedIn berada di luar Amerika Syarikat, dengan lebih 37 juta ahli di Asia Pasifik, kata LinkedIn dalam satu kenyataan.
Penyedia rangkaian yang diasaskan pada 2003 itu beroperasi di lebih 200 negara dan wilayah dan mempunyai model perniagaan pelbagai dengan pendapatan datang daripada penyelesaian tenaga kerja, penyelesaian pemasaran dan langganan premium. - Bernama

Tiada ulasan:
Catat Ulasan