Rabu, 12 Disember 2012

Twitter tambah ciri perkongsian gambar

SAN FRANCISCO, 11 Dis. 2012 - Twitter semalam menambah ciri perkongsian gambar melalui telefon pintar selepas Instagram milik laman web sosial Facebook menghalang imejnya digunakan di laman mikroblog tersebut.

Twitter menyatakan, pengguna kini boleh menyunting dan memperbaiki gambar di laman web miroblog itu bermula semalam.

"Setiap hari, berjuta-juta orang menggunakan Twitter untuk memuat naik apa yang penting kepada mereka selain ingin mengetahui apa yang berlaku di seluruh dunia.

"Gambar juga memainkan peranan penting dalam pengalaman menggunakan laman web ini,'' jelas Twitter.

Twitter memberitahu, rakan kongsinya, Aviary akan melaksanakan penapisan dan beberapa kesan imej lain untuk pengguna aplikasi telefon pintar iPhone keluaran Apple atau telefon menggunakan sistem operasi Android keluaran Google.

Pertelagahan media sosial antara Twitter dan Instagram meningkat hujung minggu lalu selepas laman web milik Facebook itu menghalang imejnya digunakan di laman web mikroblog berkenaan.

Instagram yang mempunyai kira-kira 100 juta pengguna, mahu orang ramai menggunakan laman web sosialnya, Facebook berbanding pesaingnya. - AFP

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan