JAKARTA - Bali mengalami ledakan penduduk. Data terbaru dari agensi wilayah menunjukkan jumlah penduduk di pulau itu mencecah 4.22 juta, kenaikan daripada 3.89 juta dua tahun lalu.
Gabenor Bali, Made Mangku Pastika berkata: “Buat masa ini, populasi penduduk mencecah 4.22 juta. Ia peningkatan menakjubkan. Saya percaya ia bukan saja disebabkan peningkatan kelahiran tetapi juga urbanisasi. Ramai orang mahu berpindah ke Bali kerana ekonominya yang semakin baik.”
Data terdahulu dari Agensi Statistik Pusat menunjukkan dalam tempoh masa sepuluh tahun (2000-2010), Bali merekodkan pertumbuhan penduduk tertinggi sejak 50 tahun, meningkat 2.15 peratus daripada 3.15 juta kepada 3.89 juta.
Kadar pertumbuhan dalam empat dekad terdahulu, tidak pernah melebihi dua peratus. Antara 1961 dan 1971, populasi di pulau itu meningkat 1.75 peratus sementara antara 1971 dan 1980, ia meningkat 1.69 peratus.
Dalam tempoh masa 1980-1990, pertumbuhan menjadi perlahan kepada 1.18 peratus dan dalam dekad selepasnya, 1990 hingga 2000, ia meningkat 1.26 peratus.
Selama lima dekad, pertumbuhan penduduk mencecah 118.5 peratus, iaitu pertambahan daripada hanya 1.78 juta orang pada 1961 kepada 3.89 juta penduduk pada 2010. - Jakarta Post

Tiada ulasan:
Catat Ulasan