Rabu, 12 Disember 2012

Jakarta destinasi paling digemari pelabur hartanah

JAKARTA, 10 Disember 2012 - Jakarta mendahului senarai destinasi paling digemari untuk pelaburan hartanah, menurut laporan kajian "Trend Baru Muncul Dalam Hartanah: Asia Pasifik 2013".

Laporan itu, diterbitkan bersama oleh Urban Land Institute (ULI) dari Washington dan PricewaterhouseCoopers (PwC) berkata, Jakarta melonjak ke tempat pertama daripada tempat ke-11 sebelum ini.

Ia menggantikan Singapura yang mengungguli senarai tahun lepas.

Akhbar tempatan, Jakarta Post berkata laporan itu menunjukkan bahawa Jakarta mendapat tempat pertama dalam senarai prospek pelaburan dan pembangunan bandar, dengan markah mencapai 6.01 dan 6.10 setiap satu, mendahului Shanghai, Singapura, Sydney dan Kuala Lumpur.

Dalam kajian itu, ULI, sebuah institut bukan berasaskan keuntungan dan PwC menemu ramah lebih 400 individu mewakili pelbagai pakar industri termasuk pelabur, pengurus dana, pemaju, syarikat pembinaan, pemberi pinjaman, broker, penasihat dan perunding.

Laporan itu mendapati permintaan untuk hartanah di Jakarta adalah kukuh, disokong oleh kadar faedah dan inflasi Indonesia yang stabil, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang kukuh dan peningkatan pelaburan terus asing (FDI).

"FDI meningkat 39 peratus pada setengah pertama 2012, sementara kadar sewaan pejabat naik 29 peratus," kata laporan itu. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan