SUAMI stres yang kena tempias selalunya isteri, dimarahi, dimaki, diugut-ugut, nasib-nasiblah tak kena terajang! Melainkan suami yang masih tersisa iman di hati tak akan sanggup buat isteri menderita.
Setakat masam muka dan tak bertegur sapa boleh-boleh saja, marah sikit pun tak mengapa supaya isteri tahu keperitan yang suami derita.
Sepatutnya jika suami stres isteri jatuh kasihan kerana saat itu suami sedang sakit jiwanya. Bukannya menambah penderitaan suami dengan cara membalas api dengan api, bersabarlah seketika kerana ia normal bagi seseorang yang menanggung amanah berat dalam hidupnya.
Isteri dinasihatkan untuk bijak mengawal perasaan jika berhadapan dengan situasi sebegini, kalau boleh hapuskan terus rasa sensitif dalam jiwa anda, matikan ‘rasa’! Nikmati saja hidup ini dengan memikirkan sesuatu yang lebih bermanfaat dalam hidup anda daripada harus bersedih di bahang stres suami.
Ada beberapa `cara gila’ untuk mengurus suami yang stres supaya anda pun tak kena jangkitannya. Namun cara ini agak gila jika dibaca secara sepintas lalu saja, jadi berhati-hatilah membaca tips ini!
Marahlah!
Marahlah jika ia boleh menstabilkan emosi anda, tentu saja marah yang positif. Marah kepada diri anda sendiri yang gagal mengawal perasaan, marah kerana anda cepat putus asa jika suami tegur, marah sebab anda tak cukup kuat ibadah sehingga tak mampu menanggung ujian. Marahlah kerana kelemahan diri. Jangan salahkan persekitaran.
Marahlah jika ia boleh membakar sisi negatif dalam diri anda. Marah yang sebegini amat baik lainlah jika seseorang itu terlalu banyak memaafkan diri sendiri, selalu memanjakan diri.
Kalau diancam oleh persekitarannya dia jadi lembik, tak melawan, sabar yang tak kena tempat. Sepatutnya kita memakai falsafah sebiji bola, semakin kuat orang memukulnya, bola itu semakin tinggi melantun. Kalau suami stres sehingga menekan perasaan anda, jadikanlah ia sebagai cabaran untuk memperbaiki diri.
Bukan marah sebab tak puas hati dijadikan kambing hitam lalu mengamuk tak mahu kalah dengan suami yang sememangnya tak akan pernah mengalah. Bukan marah kepada anak-anak yang dijadikan mangsa keadaan.
Bukan marah sampai tak terfikir bagaimana hendak menyelesaikan masalah, bukan cari siapa salah. Bukan marah yang mendatangkan perbuatan haram! Marahlah jika ia mampu menyulut semangat baru untuk berubah ke arah yang lebih positif.
Boroslah!
Suami tengah dilanda stres anda pula berbelanja sakan? Habiskan duit asal senang hati, nak pujuk hati dengan berbelanja membeli segala yang anda suka. Apakah itu boleh menyelesaikan masalah anda dan suami?
Boleh-boleh saja nak sembuhkan sakit hati, tetapi apakah perbuatan boros itu baik? Ada boros yang jahat dan baik dilakukan dalam sesetengah keadaan. Boros yang jahat tentu kita faham, perbuatan menghabiskan duit tanpa memikirkan dampak negatifnya untuk masa depan keluarga. Sedangkan boros yang baik bukan menggunakan duit tetapi hati dan jiwa anda.
Belilah hati suami dengan kekayaan hati anda. Biar pasangan kita berasa selesa walaupun hati kita rasa tergugat. Kadang-kadang untuk menyembuhkan stres suami, anda perlu mematikan perasaan, jangan sensitif sangat! Boroslah membelanjakan kekayaan hati anda dengan memaafkan suami yang sedang tertekan.
Kaya hati itu dihitung dengan banyaknya anda bersabar, bersyukur dan pandai memujuk hati suami. Hati anda kaya dengan elemen-elemen positif, jadi jangan kedekut memberikannya kepada suami yang tengah miskin jiwa!
Kasihankan suami kerana stres membuat dirinya rasa gagal, marah, putus asa menghadapi keadaan. Anda yang kaya jiwa sememangnya diharapkan melangsaikan semua hutang-hutangnya itu dengan memberi motivasi, pujukan dan layanan terbaik. Harta yang berada dalam jiwa tidak mungkin berkurang, semakin banyak anda memberi semakin banyak ia bertambah. Bertambah pahala dan ikhlasnya, itulah semahal-mahal harta dalam jiwa anda.
Khianati cintanya!
Idea gila jika anda menerima nasihat ini bulat-bulat! Khianati cintanya bukan bermaksud cuba mencari cinta lelaki lain ketika suami bermasalah, tetapi cuba mencari cinta Allah SWT ketika anda rasa tak dicintai suami.
Tentu saja anda rasa tak dicintai suami jika dia asyik marah-marah dan tak pedulikan anda! Jangan terus merajuk, jangan pedulikan orang yang sedang ‘tidak normal’, jangan sensitifkan hati jika selalu dipersalahkan atas apa yang tidak anda lakukan. Pergi saja pada cinta lain yang lebih menjanjikan ketenangan hati. Mencintai Yang Maha Pencinta!
Mencintai Allah senang bagi mereka yang ditimpa ujian, tapi susah bagi mereka yang dibuai kesenangan. Bolehkah anda setia mencintai-Nya ketika ujian itu sudahpun berakhir? Masa dalam pelukan suami, Allah dilupakan, jika susah nanti terhegeh-hegeh meminta pertolongan. Jangan berkhianat mencintai Allah nescaya Dia setiakan cinta suami kepada anda selamanya!
Ketiga tips ini memang pelik, disyorkan baca betul-betul sebelum anda mempraktikkan!
* Artikel dipetik dari majalah Mingguan Wanita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan