Rabu, 9 Mei 2012

Rokok perisa mentol tingkatkan risiko strok

TORONTO - Perokok yang gemar menghisap rokok berperisa mentol lebih berisiko diserang strok berbanding perokok yang memilih rokok biasa, menurut satu kajian yang dijalankan baru-baru ini.
 
Kajian yang disiarkan dalam Arkib Perubatan Dalaman itu juga menyatakan, keadaan tersebut lebih banyak berlaku di kalangan wanita serta individu Amerika yang bukan dari Afrika.
"Sememangnya merokok tidak baik untuk kesihatan. Namun kajian ini menunjukkan dengan mengelak rokok berperisa mentol, ia secara minimum menghindari anda daripada diserang strok," kata penyelidik dan ahli klinikal bersekutu, Nicholas Vozoris dari Hospital St. Michael, di sini.
 
Dalam kajian tersebut, beliau menggunakan maklumat yang diambil dari kajian gaya hidup dan kesihatan Amerika Syarikat (AS) di kalangan 5,028 perokok dewasa.
 
Secara keseluruhan, sebanyak 26 peratus responden mendakwa mereka biasanya menghisap rokok berperisa mentol dan jumlah selebihnya menghisap rokok biasa.
 
Sesetengah pakar menyatakan, perisa mentol digemari perokok yang baru mula merokok dan ia membuatkan mereka susah untuk meninggalkan tabiat tersebut kerana rasanya menutupi bau tembakau yang kurang menyenangkan.
 
Daripada jumlah perokok berperisa mentol, 3.4 peratus mengaku mereka mengalami strok, berbanding sebanyak 2.7 peratus di kalangan perokok bukan mentol.
 
Kajian itu juga mendapati risiko strok meningkat tiga kali ganda di kalangan perokok berperisa mentol terutama wanita dan bangsa Amerika bukan Afrika.
 
Vozoris bagaimanapun berkata, kajian itu tidak membuktikan secara saintifik mengapa rokok mentol menyebabkan lebih risiko strok.
 
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan mentol di dalam rokok mempunyai kesan kepada saluran darah yang bersambung ke bahagian otak. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan