HARVARD - Lelaki yang kerap mengabaikan pengambilan sarapan berisiko menghidap diabetes 20 peratus berbanding mereka yang berbuat demikian, menurut satu kajian terkini.
Kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik dari Sekolah Perubatan Awam Harvard itu menunjukkan, walaupun memiliki berat badan yang ideal, mereka tetap berisiko menghidap diabetes seandainya tidak menjamah makanan pada waktu pagi.
Sebanyak 29,206 responden lelaki terlibat dalam kajian selama 16 tahun itu dan kesemuanya tidak menghidap penyakit tersebut pada awal kajian dilakukan.
"Mengambil tiga sajian utama setiap hari termasuk sarapan, dilihat sebagai corak pemakanan optimum dalam usaha mengurangkan risiko diabetes Jenis 2," kata penyelidik melalui kajian yang disiarkan dalam Jurnal Pemakanan Klinikal Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, mereka berkata, kajian di kalangan wanita diperlukan untuk melihat sama ada golongan itu turut mempunyai risiko yang sama.
Kajian tersebut juga menyatakan, diet pemakanan yang seimbang dan senaman, dapat membantu lelaki mengurangkan risiko diabetes.
Sarapan dikatakan mengurangkan paras lipoprotein, iaitu kolesterol jahat yang berpotensi menyumbat bahagian arteri sekeliling jantung.
Individu yang kerap berlapar di waktu pagi juga dilihat gemar mengunyah makanan ringan yang mengandungi gula dan kurang bersenam. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan