SAN FRANCISCO 18 Mei - Twitter, semalam mengumumkan bersetuju dengan tuntutan pengguna yang mahu aktiviti mereka di dalam talian tidak dikesan.
Keputusan itu adalah satu tindakan berbeza daripada syarikat web lain seperti Google dan Facebook Inc, yang mana model perniagaan mereka bergantung kepada mengumpulkan data pengguna.
Menurut Twitter, mereka secara rasmi akan menyokong 'Do Not Track', satu inisiatif piawaian privasi yang dipromosi oleh Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (AS), penyokong privasi di dalam talian dan Mozilla.
Beberapa pelayan web termasuk Firefox, Internet Explorer dan Safari turut memasukkan pilihan 'Do Not Track' yang menghantar barisan kod kepada laman web yang menunjukkan pengguna tidak mahu dikesan.
Namun, mengikut undang-undang sedia ada, ia terpulang kepada pelayan laman web itu untuk bersetuju dengan permintaan pengguna tersebut.
Google sebelum ini berkata akan melaksanakan perisian 'Do Not Track' di dalam pelayan web Chrome mereka pada hujung tahun ini.
Pengumuman Twitter itu selari dengan gesaan rangkaian sosial tersebut sebelum ini yang mahu lebih banyak perkhidmatan peribadi disediakan.
"Seperti biasa, kami komited untuk menyediakan pilihan yang ringkas dan bermakna tentang maklumat yang kami kumpulkan untuk memperbaiki pengalaman Twitter anda.
"Bagi pengguna yang tidak mahu aktiviti mereka di dalam talian dikesan, kami juga menawarkan pilihan itu," kata Pengarah Pembangunan dan Antarabangsa Twitter, Othman Laraki. - Reuters

Tiada ulasan:
Catat Ulasan