Ia tidak hanya berkhasiat untuk kecantikan. Minyak zaitun mempunyai banyak manfaat lain.
Minyak zaitun sudah digunakan sejak berabad-abad lalu. Ia digunakan semasa memasak, untuk makan, malahan untuk kecantikan kaum wanita. Keberkesanannya memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Adakah anda ingin mencuba minyak semula jadi ini khusus untuk kecantikan?
Berikut dibentangkan kaedah yang boleh anda jadikan amalan.
Melembapkan kulit kering
Lembapkan bahagian yang agak kering ditubuh dengan mengoleskan minyak zaitun pada titik-titik tertentu itu. Sapukan secukupnya. Ia mungkin termasuk kulit bibir, kulit kaki atau bahagian tubuh mana yang ingin dilembapkan. Minyak zaitun juga boleh digunakan ketika berendam untuk menghaluskan kulit. Campuran minyak zaitun dengan minyak pati seperti lavender agar diri lebih nyaman dan wangi.
Pengganti krim cukur
Anda kehabisan krim pencukur? Usah khuatir. Gunakan sahaja minyak zaitun. Minyaknya akan melembutkan rambut dan bulu badan yang kasar dan memberikan hasil cukuran yang lebih mulus. Pssst... jika suami anda memiliki kulit wajah sensitif sehingga takut mencukur, cuba berikan minyak zaitun sebagai pengganti krim pencukurnya dan lihatlah keberkesannya.
Menghaluskan kutikel
Jika anda berangan-angan memiliki kuku yang lebih kuat, bebas kutikel atau kulit ari dan sekaligus ingin memperolehi tangan yang lembut, inilah jawapannya. Celup kuku-kuku jari ke dalam minyak zaitun yang hangat. Minyak itu akan membuat kutikel lebih lembut sekaligus menguatkan kuku yang mudah patah. Kemudian, sapukan minyak tersebut pada tangan sebelum tidur, bungkus ia dengan sarung tangan dan biarkan semalaman.
Melembutkan rambut kasar
Siram rambut dengan minyak zaitun, lalu bungkus dengan tuala. Kemudian biarkan ia selama setengah jam. Untuk rambut yang rosak kerana salah perawatan, campur 1/2 cawan minyak zaitun dengan sebutir telur yang sudah dikocok, lalu siram ke rambut anda. Bungkus rambut dengan penutup rambut plastik dan biarkan selama 30 hingga 45 minit. Lakukan rawatan ini seminggu sekali.
Membersihkan sisa solekan
Minyak zaitun juga mampu menghapuskan sisa mekap yang menempel pada kulit. Tepuk kapas yang sudah dicelupkan ke dalam minyak zaitun. Kemudian, sapukan ia pada wajah untuk membersihkan mekap sama seperti ketika anda menggunakan pembersih susu. Ia juga boleh digunakan untuk membersihkan sisa maskara.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan