PARIS : Sejenis peralatan yang dipegang seperti lampu suluh boleh membunuh bakteria berbahaya sekali gus berpotensi untuk membantu pasukan perubatan dalam menangani kes jangkitan khususnya di zon bencana dan perang.
Menurut sekumpulan penyelidik dari China, Australia dan Hong Kong dalam satu jurnal khas, 'lampu suluh plasma' itu mampu mengeluarkan pancaran gas bercas atau berion untuk membunuh kuman.
Buat masa ini, pensteril plasma panas sudah digunakan untuk membersihkan alat-alat pembedahan daripada jangkitan, namun harganya lebih mahal dan ia memerlukan lebih banyak kuasa elektrik.
Alat baru itu hanya menggunakan bateri 12 volt dan tidak memerlukan tenaga gas, lapor kajian yang didedahkan di Journal of Physics D: Applied Physics.
Pencipta alatan itu berkata, mereka telah menjalankan uji kaji terhadap kuman yang tahan kepada antibiotik dan haba, Enterococcus faecalis.
"Dalam kajian itu, kita memilih satu contoh ekstrem untuk menggambarkan lampu suluh plasma berkesan walaupun dalam suhu bilik.
"Untuk satu bakteria, tempoh untuk membunuhnya hanya mengambil masa 10 saat sahaja,'' kata Ken Ostrikov dari Pusat Nanosains Plasma di Australia.
Kajian itu bertujuan menghasilkan satu gajet mudah yang boleh membunuh bakteria permukaan dalam persekitaran air bersih dan ubat-ubatan sukar didapati.
Dengan pengubahsuaian teknikal dan skala ekonomi, kos pembuatan alat itu tidak lebih daripada AS$100 (RM306), kata Ostrikov.
Dalam eksperimen itu, plasma diukur pada tahap 20 hingga 23 darjah celsius iaitu menghampiri suhu bilik dan tidak membakar kulit. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan