LONDON - Wanita yang cuba mengurangkan berat badan diminta lebih berhati-hati kerana tindakan itu boleh memberi kesan negatif kepada anak jika mereka didapati mengandung.
Satu kajian oleh saintis dari Universiti Manchester mencadangkan, anak tersebut mungkin menjadi obes atau menghidap diabetes selepas mereka besar nanti.
Menurut saintis yang menjalankan kajian ke atas kambing biri-biri, haiwan induk itu yang diberikan makanan tidak cukup ketika mengandung boleh menyebabkan perubahan genetik pada otak anak kambing biri-biri yang masih belum dilahirkan.
Mereka mengesyaki keadaan sama juga akan berlaku kepada manusia dan ia menerangkan mengapa anak kembar dilihat menghidap diabetes Jenis 2 apabila dewasa.
Kajian itu mengkaji kambing biri-biri yang hamil anak kembar dan kurang menerima bekalan makanan.
Saintis kemudian memeriksa tisu dari otak anak kambing biri-biri yang belum dilahirkan untuk melihat sama ada berlaku perubahan dalam struktur asid deoksiribonukleik (DNA) haiwan berkenaan.
Penyelidik yang mengetuai kajian itu, Anne White berkata, mereka mendapati berlaku perubahan struktur DNA pada bahagian otak pasangan anak kembar kambing biri-biri melibatkan kawalan pengambilan makanan dan glukos, menyebabkan peningkatan kemungkinan menghidap diabetes ketika dewasa.
"Kajian kami juga menunjukkan ibu yang tidak mendapat makanan yang cukup ketika mengandung mungkin mempunyai anak yang berisiko tinggi mengalami obesiti,'' katanya. - Agensi

Tiada ulasan:
Catat Ulasan