LONDON - Pernahkah anda cuba bercerita kepada teman karib anda mengenai mimpi indah yang dialami malam tadi, namun gagal mengingatinya?
Jika jawapannya 'ya' dan ingin cuba mengingati setiap detik mimpi yang dialami, anda disarankan mengambil makanan tambahan yang mengandungi vitamin B6.
Menurut satu kajian awal yang dijalankan pada 2002, pengambilan makanan tambahan tersebut bukan hanya membolehkan individu mendapat mimpi yang jelas, namun membantu mengingatinya pada keesokan harinya.
Setiap individu dikatakan akan mengalami antara empat dan enam mimpi setiap malam dan biasanya sukar untuk mengingatinya, tambahan lagi secara keseluruhan.
Vitamin B6 yang boleh didapati dalam daging, bijirin penuh, kacang dan pisang, dikatakan mampu membantu mengingati mimpi, malahan meningkatkan mengingati mimpi tersebut secara jelas, namun fakta ini hanya berdasarkan teori dan bukan penyelidikan kukuh.
Dalam kajian tersebut, sebanyak 12 pelajar universiti diberi vitamin B6 selama lima hari dengan empat peserta diberi 100 miligram, empat lagi diberi 250 miligram, manakala selebihnya tidak diberi langsung.
Peserta yang diberi dos paling banyak didapati mampu mengingati mimpi dengan lebih jelas daripada segi emosi, warna dan juga setiap babak yang terjadi.
Dipercayai vitamin tersebut berupaya menukar asid amino kepada serotonin, yang menjana otak ketika peringkat pergerakan pantas mata sewaktu tidur, iaitu satu peringkat tidur di mana kebanyakan mimpi boleh diingati dengan lebih jelas.
Bagaimanapun, pengambilan vitamin tersebut dalam jumlah yang banyak pula boleh menyebabkan anda sukar untuk tidur kerana ia dikatakan menjadi punca insomnia, dan masalah jantung berdebar-debar, kekejangan, tekanan darah tinggi dan serangan panik.
Bagaimanapun, kajian mengenai vitamin B6 membantu mengingati hanya merupakan satu kajian awal, namun pengambilan vitamin B6 diakui mampu merawat muntah-muntah ketika peringkat awal kehamilan sejak sekian lama - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan