LONDON - Gelombang baru Beatlemania dijangka menggegar dunia apabila anak kepada Paul McCartney dan tiga lagi anak-anak anggota kumpulan rock legenda itu bercadang untuk menubuhkan satu kumpulan muzik baru.
James McCartney memberitahu laman web BBC, dia bersama Sean (anak kepada John Lennon), Dhani (anak George Harrison) dan Zak Starkey (anak Ringgo Starr) akan bergabung untuk menubuhkan kumpulan baru Beatles yang dinamakan The Beatles - The Next Generation.
"Saya, Sean dan Dhani bersedia untuk menubuhkan kumpulan ini. Kami berharap Starkey juga begitu," kata James, 34, yang memulakan karier muziknya secara solo sebagai penyanyi dan pemain gitar.
Sean kini bergiat aktif dalam industri muzik sebagai penyanyi dan pencipta lagu di New York, sementara Dhani pula merupakan penyanyi utama kumpulan rock London, New No. 2.
Starkey pula mengikut jejak langkah bapanya sebagai pemain dram dan pernah bermain untuk kumpulan The Who dan Oasis.
James berkata, dia mahu kumpulan yang ditubuhkannya menjadi lebih hebat daripada kumpulan yang disertai oleh bapanya dahulu.
"Saya tidak pasti jika dapat melakukannya, tetapi saya mahu kumpulan ini seperti The Beatles, namun lebih hebat,'' ujarnya kepada BBC.
James, semalam membuat persembahan di kelab Cavern di Liverpool, barat daya England, tempat pertama The Beatles mencipta nama. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan