Jumaat, 21 Oktober 2011

Samsung-Apple masih mesra


SEOUL 19 Okt. - Hubungan perniagaan antara Samsung Electronics Co. dan Apple Inc masih kukuh namun tindakan saman pelanggaran hak cipta oleh syarikat telekomunikasi Amerika Syarikat (AS) tersebut terhadap rakan perniagaannya mungkin memutuskan hubungan itu pada masa depan.


Apple membeli beberapa komponen utama untuk produk telefon pintar iPhonenya dari syarikat Korea Selatan itu walhal Samsung merupakan pesaing terbesarnya dalam pasaran telefon pintar berkenaan.

Laporan menyatakan tindakan undang-undang pelanggaran hak cipta oleh Apple itu mungkin menjejaskan perjanjian baru dengan Samsung dalam membekalkan komponen kepada syarikat telekomunikasi AS tersebut.

Ketua Operasi Samsung, Lee Jae Yong berkata, beliau sudah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook 'selama dua, tiga jam'.

''Kebanyakan perbincangan dengan Cook melibatkan penghantaran komponen kepada Apple yang dipersetujui akan diteruskan sehingga 2013 dan 2014,'' katanya selepas pulang dari majlis memperingati pengasas Apple, Steve Jobs yang meninggal dunia di AS.

Jemputan Cook kepada Jae Yong itu menimbulkan persoalan apakah kesan kepada pertikaian undang-undang hak cipta antara kedua-dua syarikat telekomunikasi gergasi tersebut.
Spekulasi timbul bahawa Apple mungkin menukar pembekal komponen di Taiwan ekoran pertikaian berkenaan.

Ditanya kesan perbincangan itu terhadap pertikaian undang-undang antara kedua-dua syarikat, Jae Yong berkata, kes saman itu merupakan isu berasingan yang akan dibincangkan oleh peguam mereka.

Samsung kelmarin memfailkan tindakan undang-undang di Jepun dan Australia bagi menghalang penjualan model terbaru iPhone atas dakwaan Apple melanggar hak cipta paten telefon bimbitnya. - dpa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan