PUTRAJAYA - Lebih enam juta belia Malaysia didakwa menghadapi krisis kecelaruan identiti disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat.Dapatan tersebut diperoleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hasil tinjauan melalui media alternatif seperti laman sembang sosial Facebook dan Twitter yang dihoskannya bermula Januari lalu.
Sehingga kini, terdapat kira-kira 11.65 juta belia di Malaysia iaitu 40.28 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.
Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman, berkata masalah itu kini berada pada tahap yang membimbangkan kerana ia akan mendorong belia berkenaan ke arah pemikiran secara liberal.
Justeru, kerajaan perlu memandang serius perkara itu demi memastikan golongan belia terus berada pada landasan yang betul bagi menjamin masa depan negara.
'Jika tidak dibendung di peringkat awal, tidak mustahil perkara yang tidak diingini boleh berlaku.
'Pelbagai program kesedaran melibatkan belia perlu diperbanyak demi memastikan keterlibatan golongan ini bersama masyarakat,' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 di sini kelmarin.
Konvensyen tersebut diadakan bagi memberi pendedahan mengenai isu semasa permasalahan keluarga dan rahsia kejayaan sesebuah keluarga.
Ia dimuatkan dengan dua sesi pembentangan kertas kerja, selain daripada forum bersama peserta.
Menurut Abdullah Zaik, isu kecelaruan identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej atau personaliti.
'Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan hilang pedoman atau hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan pada perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan,' katanya. - Utusan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan