CHICAGO 26 Okt. : Ketua pergerakan Nation of Islam, Louis Farrakhan menempelak sikap sesetengah pihak yang 'bergembira' dengan kematian Muammar Gaddafi dan memberi amaran mereka akan menyesal dengan apa yang dilakukan itu.
Katanya, kematian bekas pemimpin Libya itu adalah satu pembunuhan yang dirancang Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis.
Beliau yang merupakan rakan baik Gaddafi berkata, negara-negara berkenaan bertanggungjawab dalam membantu rakyat Libya menghancurkan pemerintahan Gaddafi, di samping mahu memperoleh 'jalan mudah' untuk mengaut kekayaan sumber minyak Libya.
''Mereka mencipta satu pembunuhan yang berjaya terhadap Gaddafi.
''Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga tidak boleh dipercayai kerana badan dunia hanyalah alat Barat,'' katanya ketika ditemu bual stesen radio Chicago, WVON-AM.Farrakhan berkata, dia mula mengenali Gaddafi sekitar 70-an dan bekas pemimpin Libya yang dibunuh minggu lalu itu pernah memberikan pinjaman sebanyak AS$5 juta (RM15.5) kepada pertubuhannya.
Malah jelasnya, pemimpin Nation of Islam sebelum ini, Elijah Muhammad pernah diberikan pinjaman sebanyak AS$3 juta (RM9.3 juta) oleh Gaddafi bagi menukar sebuah gereja di Chicago menjadi masjid.
''Ia bukan sekadar wang tetapi prinsip hidupnya yang membuatkan kami seperti saudara,'' ujarnya.
Katanya, ketika pemerintahan Gaddafi, hasil minyak Libya digunakan untuk membina sekolah serta universiti bagi meningkatkan kadar celik ilmu dan Gaddafi juga telah berjaya memperbaiki perkhidmatan kesihatan yang dilihat terbaik di kalangan negara ketiga. - AP
+
Obama kurang senang layanan buruk ke atas mayat Gaddafi
LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) : Presiden AS, Barack Obama kelmarin memberi ulasan mengenai kematian berdarah bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dengan menyatakan orang mati wajar dilayan dengan sopan walaupun ketika hidupnya dia telah melakukan perkara-perkara yang buruk.Gaddafi dikebumikan di sebuah lokasi rahsia di gurun Sahara kelmarin, lima hari selepas dia ditangkap, dibunuh dengan jenazahnya dijadikan pameran.
Beberapa klip video menunjukkan bekas pemimpin Libya berusia 69 tahun itu dicaci, dipukul dan didera sebelum dia meninggal dunia.
"Layanan terhadap Gaddafi dan jenazahnya bukan sesuatu yang menggembirakan kita," kata Obama ketika ditanya mengenai perasaannya berhubung penyiaran klip-klip video terbabit dalam rancangan bual bicara Tonight Show terbitan NBC yang dihoskan oleh Jay Leno.
"Saya fikir anda perlu melayan orang mati dengan tertib walaupun dia melakukan perkara yang teruk semasa hidupnya," tambah Obama.
Obama memberitahu, pentadbirannya tidak menyiarkan satu pun gambar bekas pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden yang mati ditembak komando AS pada Mei lalu. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan