Rabu, 19 Oktober 2011

Contohi Imam Nawawi, bijak membahagi masa

KAUM Muslim harus memerhatikan bagaimana kita mengatur masa kerana umur merupakan kurniaan Allah sebagai peluang untuk menambahkan saham di akhirat kelak.
Maka itu, selain melaksanakan tugas harian, kita harus bertanya apakah sumbangan yang dapat kita berikan bagi kemanfaatan umat sejagat?
Cara seorang tokoh Islam, Abu Zakaria atau nama sebenarnya Yahya bin Syaraf An-Nawawi atau lebih dikenali sebagai Imam An-Nawawi, membahagikan masa secara bijak boleh menjadi contoh. Beliau meninggal pada usia muda - 45 tahun - tetapi telah menyumbangkan tenaga dan usaha demi penyebaran ilmu.
Bayangkan bagaimana Imam An-Nawawi membahagi-bahagikan masanya dalam sehari.
Ada masanya dikhaskan untuk mengajar, belajar, menulis, berdakwah, beribadah dan sebagainya.
Usaha yang kita lakukan haruslah dengan bersungguh-sungguh demi memanfatkan setiap detik dalam kehidupan kita Imam An-Nawawi dilahirkan di Nawa Syria, pada Muharam 631 Hijriyah. Minatnya terhadap ilmu bermula semenjak berusia remaja lagi. Masa mudanya dihabiskan mempelajari pelbagai ilmu agama seperti fiqah, hadis, ilmu falsafah daripada para alim ulama di kota Damsyik ketika itu.
Kenyataan Imam Az-Zahabi dalam kitabnya, Tazkiratul Huffaz, mencerminkan kehausan dan kesungguhan Imam An-Nawawi dalam menuntut ilmu.
Menurut riwayat, semasa menuntut ilmu, Imam An-Nawawi mengikuti 12 pengajian dengan para gurunya setiap hari. Beliau mencatat segala huraian dan penjelasan pada setiap kitab yang dibacanya.
Lantaran itu, kitab karangan Imam An-Nawawi merangkumi pelbagai ilmu agama.
Antaranya yang menjadi rujukan ialah kitab Syarah Sahih Muslim, kitab Riyadus Salihin, kitab Al-Majmu' dan kitab Raudatut Talibin.
Beliau juga telah memberi pendidikan menyeluruh kepada generasi muda di zamannya. Menurut riwayat, Imam An-Nawawi berjaya mendidik lebih 100 murid sehingga menjadi ulama dan fuqaha.
Ternyata Imam An-Nawawi telah melakukan banyak sumbangan serta amalan, walaupun pada jarak usia yang singkat.
Seorang sahabat Nabi saw, Ibnu Umar ra, berkata: 'Apabila kamu tiba di masa petang, maka usahlah kamu menantikan waktu pagi. Dan apabila kamu berada di waktu pagi, usah pula kamu menanti waktu petang. Dan pergunakanlah masa sihat kamu sebagai persiapan berhadapan dengan masa sakit, dan masa kehidupanmu sebagai persiapan menghadapi kematian.' - Hadis riwayat Imam Bukhari.
Sebagai umat Muhammad, sebenarnya kita tiada alasan untuk tidak melakukan sebarang sumbangan.
Menurut riwayat, seorang lelaki bertanya kepada Nabi: 'Ya Rasulullah, siapakah insan yang paling baik?' Nabi bersabda: 'Sesiapa yang dipanjangkan umurnya dan baik amalannya'. Lelaki itu bertanya lagi: 'Siapa pula yang paling buruk?' Rasulullah menjawab: 'Sesiapa yang dipanjangkan umurnya, dan buruk pula amalannya'. - Hadis Riwayat Imam Tirmizi.
Allah tidak melihat kepada besar ataupun kecil sesuatu sumbangan, sebaliknya melihat keikhlasan perbuatan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan