Khamis, 13 Oktober 2011

Cara terus sihat walau sudah putus haid


APABILA wanita sudah putus haid, mereka dikatakan lebih cenderung menghidap beberapa jenis penyakit, termasuk penyakit jantung.

Justeru, timbul persoalan, bagaimana mengelak penyakit-penyakit ini?

Mengulas, Dr Ang Seng Bin, Ketua dan Doktor Keluarga Kanan, Khidmat Perubatan Keluarga di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), berkata: 'Bersenam secara kerap dapat meningkatkan kesihatan wanita yang sudah putus haid dan keupayaan mengimbangi pergerakan tubuh mereka.

'Senaman juga mengurangkan risiko wanita yang sudah putus haid mengalami keretakan tulang. Ia juga boleh menguatkan jantung, menenangkan perasaan dan membaiki tidur mereka.

'Risiko terkena serangan jantung dan angin ahmar pun akan berkurangan.'


Beliau juga mengingatkan pentingnya wanita yang sudah putus haid atau menopaus makan secara sihat.


'Kunci ke arah makan sihat ialah mengelakkan makanan yang berminyak dan bergoreng, kurangkan atau tidak makan langsung gula. Ini termasuk menjauhi minuman manis, jus buah dan kek.


'Cuba makan makanan bijirin penuh seperti oat dan beras perang. Pokoknya, cuba elak makan makanan yang diproses dan elak makan daging kalau boleh, atau kurangkan.'

Dr Ang memberikan jawapan ini kepada Sihat menjelang forum awam mengenai menopaus yang akan diadakan Ahad ini.

Beberapa lagi soalan yang diajukan adalah seperti berikut:


Soalan : Mengapakah ada wanita mengalami gejala menopaus dan ada yang tidak mengalaminya?


Jawapan : Kami tidak tahu sebab-sebabnya buat masa ini. Namun, mereka yang gemuk berlebihan cenderung mengalami badan panas atau hot flush, akibat suhu badan terendah mereka yang lebih tinggi daripada orang tidak gemuk. Ini mungkin kerana lemak mereka berlebihan.

Orang Asia biasanya kurang mengalami hot flush berbanding orang Barat tetapi mereka lebih cenderung alami sakit badan. Oleh itu, faktor baka mungkin memainkan peranan.

Namun, majoriti wanita sebenarnya tidak mengalami sebarang gejala menopaus, dengan sekitar 20 hingga 40 peratus mungkin mengalaminya.

Soalan : Bilakah seorang wanita harus mendapatkan rawatan doktor jika beliau mengalami gejala menopaus, misalnya, perasaan yang tidak menentu dan hot flush yang teruk?

Jawapan : Jika gejalanya ringan, seorang wanita boleh buat perubahan pada gaya hidup. Ini termasuklah mengenakan pakaian tipis, memasang hawa dingin jika badan panas, lebih banyak bersenam dan makan diet seimbang untuk terus jaga berat badan.

Mengamalkan tabiat tidur yang baik juga penting.

Namun, ada wanita yang terus mengalami gejala-gejala menopaus walaupun mereka sudah membuat perubahan pada gaya hidup, hingga kehidupan sosial dan pekerjaan mereka terjejas.

Golongan ini perlu mendapatkan nasihat doktor.

Soalan : Bagaimanakah wanita boleh melalui hidup seperti mereka masih muda walaupun mereka sudah putus haid?

Jawapan : Mereka harus terus memastikan mereka memiliki minda yang positif dan tubuh yang sihat. Menjalin hubungan kekeluargaan yang sihat dan kehidupan sosial yang aktif akan membantu membuat minda dan tubuh sihat buat jangka masa panjang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan