LONDON 18 Okt. - Diktator Nazi, Adolf Hitler dipercayai memalsukan berita kematiannya dan melarikan diri ke Argentina sehingga menghembuskan nafas terakhir.
Penulis buku Grey Wolf: The Escape Of Adolf, Gerrard Williams dan Simon Dunstan percaya bukti yang menyatakan diktator itu membunuh diri adalah palsu dan sebenarnya beliau melarikan diri pada 1945 bersama isterinya, Eva Braun untuk memulakan hidup baru.
Selain itu, kedua-dua penulis tersebut turut mendedahkan rancangan Hitler dan isterinya melarikan diri.
Kedua-dua penulis tersebut menolak pandangan yang menyatakan diktator itu menembak dirinya di dalam kapal tangki minyak di Berlin pada 30 April 1945, manakala Braun membunuh diri dengan minum racun.
Malah mereka mendakwa terdapat bukti yang lebih kukuh menyatakan pasangan tersebut melarikan diri ke Argentina pada akhir era Perang Dunia Kedua dan mempunyai dua anak perempuan sebelum Hitler meninggal dunia pada 1962 ketika berusia 73 tahun.
"Kami tidak mahu menulis semula fakta sejarah namun bukti yang kami temui boleh disifatkan sebagai maklumat paling hangat untuk diabaikan begitu sahaja.
"Tiada bukti forensik bagi menunjukkan kematian mereka (Hitler dan Braun) dan cerita daripada pelbagai saksi mengenai kehidupan mereka di Argentina sangat menarik," kata Williams.
Jelasnya, serpihan tengkorak yang dikatakan milik diktator itu sebelum ini sebenarnya milik seorang wanita berusia 40 tahun.
Kajian yang dilakukan kedua-dua penulis tersebut, bagaimanapun mendapat tentangan hebat daripada pakar sejarah termasuk Guy Walters yang mengkaji tentang tentera Nazi.
"Teori yang menyatakan Hitler melarikan diri adalah perkara yang paling tidak masuk akal dalam sejarah dan kedua-dua penulis tersebut perlu rasa malu dengan tindakan 'sampah' mereka," katanya. - AGENSI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan