Lebih banyak tumpahan minyak
Amaran NZ susuli cuaca buruk halang usaha pam minyak dari kapal tersadai di terumbu karang

TAURANGA (New Zealand) : New Zealand memberi amaran bahawa lebih banyak minyak dijangka tumpah daripada kapal kontena, Rena, yang kini tersadai di sebuah terumbu karang.
Ini kerana cuaca buruk menghalang usaha mengepam keluar minyak daripada tangki kapal itu.
Kakitangan penyelamat telah mengepam keluar 20 tan minyak semalaman daripada kapal itu tetapi masih terdapat sekitar 1,300 tan minyak di dalamnya.
Menurut pihak berkuasa, kerja-kerja mengepam minyak keluar daripada kapal itu adalah usaha yang perlu dilakukan secara teliti serta berhati-hati dan ia amat berbahaya.
Pihak Maritim New Zealand (MNZ) berkata masyarakat di kawasan pesisiran pantai di Bay of Plenty harus bersedia kerana 300 tan minyak yang bocor daripada tangki kapal itu dijangka melanda kawasan pantai mereka.
Sedang sekumpulan sukarelawan terus membersihkan minyak hitam di pantai-pantai terjejas di teluk North Island, yang dipenuhi hidupan liar, syarikat yang menyewa kapal itu tidak mahu bertanggungjawab di atas kemalangan yang menyebabkan pencemaran laut paling dahsyat di New Zealand.
Namun, Mediterranean Shipping Company (MSC), syarikat perkapalan kontena kedua terbesar di dunia, itu menyatakan bahawa ia sanggup menanggung sebahagian kos pembersihan, yang dianggarkan sudah mencecah NZ$4 juta ($4 juta) sejauh ini.
'Kami tidak bertanggungjawab dalam keadaan ini tetapi kami sedia menghulurkan bantuan seberapa yang boleh,' kata pengarah urusan MSC Australasian, Kevin Clarje, kepada pemberita setelah bertemu Menteri Sekitaran New Zealand, Steve Joyce.
Namun, Joyce berpendapat MSC mempunyai kewajipan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk memberi sumbangan kerana kapal itu di bawah kontrak dengan MSC ketika ia melanggar batu karang.
Dengan operasi menyelamat bergerak perlahan kerana kedudukan kapal yang senget dan cuaca buruk, Joyce memberi amaran bahawa lebih banyak tumpahan minyak dijangka berlaku dan masih banyak yang perlu dilakukan.
Bahagian depan kapal Rena itu tersadai di terumbu karang Astrolabe, kira-kira 22 kilometer dari darat, sementara bahagian belakang kapal terapung di laut.
Tumpahan minyak daripada kapal itu telah mengorbankan sekitar 1,300 burung dan mencemari pantai yang dahulunya bersih, sehingga ia mendorong 5,500 relawan tampil membersihkan kawasan tersebut. - AFP.
































Tiada ulasan:
Catat Ulasan