SAN FRANCISCO 7 Jun - Apple Inc. semalam memperkenalkan satu perkhidmatan percuma dikenali sebagai iCloud yang membolehkan penyimpanan muzik, gambar dan kandungan laman web dan berkongsi bahan-bahan tersebut antara produk-produk dan gajet keluaran syarikat itu.
Apple Inc. turut memperkenalkan perisian generasi baru, Lion untuk komputer Macintosh dan sistem operasi telefon bimbit termasuk iPhone, iPad dan iPod dikenali sebagai iOS 5 melalui pratonton di Sidang Pembangunan Dunia (WWDC) di sini.
Ketua Eksekutifnya, Steve Jobs berkata, pihaknya ingin meningkatkan kemampuan syarikat itu sebagai pusat digital.
Beliau berkata, perkhidmatan iCloud akan membenarkan penghantaran fail-fail antara gajet Apple tanpa penggunaan kabel.
''Usaha untuk memastikan operasi gajet-gajet ini seragam sememangnya memeningkan kepala. Kami rasa penyelesaian ini merupakan satu kejayaan besar.
''iCloud menyimpan kandungan anda dan secara automatik menghantarnya kepada semua gajet anda,'' katanya.
Apple Inc. memberitahu, iCloud akan mula ditawarkan pada musim luruh ini sejajar dengan pengeluaran iOS 5 dan memberikan ruang penyimpanan sebanyak lima gigabyte secara percuma untuk mel, dokumen dan data sokongan.
Ia berkata, iCloud menyeragamkan mel, hubungan kenalan, kalendar, gambar, aplikasi, e-book, muzik dan fail lain tanpa wayar antara gajet-gajet.
Perkhidmatan iTunes in the Cloud membenarkan perkongsian muzik yang dibeli melalui iTunes dengan gajet-gajet Apple manakala perkhidmatan Photo Stream pula membenarkan perkongsian gambar.
Bagi muzik yang tidak dibeli melalui iTunes, Apple menawarkan perkhidmatan iTunes Match dengan yuran AS$24.99 (RM74.97) setahun untuk memasukkan lagu dari cakera padat ke dalam koleksi muzik peribadi pelanggan dan membolehkannya digunakan di talian. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan