Khamis, 16 Jun 2011

Pesawat Solar terbang dari Brussels ke Paris

BRUSSELS 14 Jun - Pesawat berkuasa solar, Solar Impulse akan melakukan penerbangan ke Paris dari Brussels hari ini selepas cubaan sebelum ini gagal berikutan masalah teknikal, lapor pasukan pesawat tersebut.

Pesawat itu berlepas Sabtu lalu bagi penerbangan antarabangsa keduanya, tetapi juruterbang Andre Borschberg terpaksa berpatah balik selepas mengalami beberapa kegagalan teknikal.

Pasukan itu dilapor sedang menanti keadaan cuaca baik sebelum melakukan penerbangan seterusnya.

"Solar Impulse mungkin akan berlepas sebelum hujan dari Brussels hari ini," jelas satu kenyataan di www.solarimpulse.com.

Pesawat berkenaan dijangka tiba di Le Bourget, utara Paris kira-kira pukul 9 malam waktu tempatan (3 pagi waktu Malaysia) sebagai 'tetamu kehormat' sempena majlis perasmian Pameran Penerbangan dan Angkasa Lepas Antarabangsa pada 20 Jun ini.

"Kami tidak punya banyak masa untuk melakukan persediaan bagi pameran itu dan pasukan ini tidak boleh berdepan satu lagi halangan.

"Oleh kerana keadaan cuaca beberapa hari lalu hanya membenarkan bateri dicas semula pada kadar 60 peratus, kami mengambil keputusan untuk menggunakan tenaga konvensional bagi menyalurkan lagi 40 peratus kuasa," kata kenyataan itu.

Hujan lebat dan angin kencang menghalang pesawat tersebut berlepas seperti sepatutnya pada hujung minggu lalu.

Pesawat buatan Switzerland itu berhasrat menamatkan jelajah lima peringkat di seluruh dunia pada 2013 atau 2014. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan