BEIJING 7 Jun - Inflasi yang semakin meningkat di seluruh dunia membayangi pemulihan ekonomi global dan boleh menjejaskan sistem kewangan, menurut seorang pegawai tinggi China.
Pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Perbankan China, Liu Mingkang berkata, kadar inflasi melonjak di negara maju dan membangun disebabkan pelonggaran dasar bekalan wang di Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.
Langkah itu menyebabkan kebanjiran aliran mudah tunai ke dalam pasaran komoditi global, sekali gus membawa kepada kenaikan harga.
"Jika gelembung aset dan tekanan inflasi terus meningkat, dunia mungkin terpaksa mengambil langkah menaikkan kadar faedah bagi mencegah kemungkinan berlakunya stagflation," kata Mingkang kepada akhbar Study Times dalam kenyataan yang disiarkan semalam.
Stagflation menggabungkan dua situasi negatif iaitu pertumbuhan ekonomi rendah dan kadar inflasi tinggi.
"Keadaan itu boleh membantutkan pemulihan ekonomi sebenar dan sekali lagi membawa kesan negatif ke atas sistem kewangan dunia," katanya.
Beliau turut memberi amaran mengenai perkembangan tidak menentu dalam ekonomi China kerana terdapat tanda-tanda penggunaan semakin lemah, harga melonjak dalam sektor pengguna dan tekanan ke atas pertumbuhan pendapatan korporat, menurut laporan itu.
Kata Mingkang, bank-bank di China perlu memberi perhatian rapi terhadap pinjaman kepada pasaran hartanah dan badan kewangan kerajaan tempatan disebabkan peningkatan risiko kegagalan membayar balik apabila China memperketatkan dasar bekalan wangnya. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan