Sabtu, 18 Jun 2011

Ayman ketua baru al-Qaeda

DUBAI 16 Jun - Rangkaian al-Qaeda hari ini menamakan orang kuat keduanya, Ayman al-Zawahiri sebagai ketua baru pergerakan itu menggantikan Osama bin Laden yang maut dibunuh komando Amerika Syarikat (AS) dalam satu serbuan di Pakistan awal bulan lalu.

"Selepas dipersetujui, al-Qaeda mengumumkan pelantikan Sheikh Ayman al-Zawahiri sebagai ketua baru kumpulan ini," jelas kenyataan kumpulan itu dalam laman web rangkaian jihadnya.

Dalam kenyataan itu, al-Qaeda turut berikrar, di bawah kepimpinan Zawahiri, 'jihad' terhadap AS dan Israel akan diteruskan.

"Demi kebenaran agama, kami memohon bantuan Tuhan bagi menyeru bangsa kami berjuang melaksanakan jihad terhadap golongan yang menyerang dan mengkhianati Islam, terutamanya AS dan sekutunya, Israel.

"Perjuangan ini akan diteruskan sehingga semua musuh meninggalkan bumi Islam," jelas kenyataan itu.

Sama seperti Osama, Zawahiri, 60, telah menyembunyikan diri sejak AS mengumumkan perang menentang keganasan selepas serangan 11 September 2011.

Pakar bedah itu yang kini menjadi individu paling dikehendaki AS, pernah dipenjara tiga tahun di Mesir kerana kegiatan militan dan terlibat dalam pembunuhan Presiden Mesir, Anwar Sadat pada 1981 serta pembunuhan beramai-ramai pelancong di Luxor pada 1997.

Berhadapan hukuman mati, Zawahiri meninggalkan Mesir pada pertengahan 1980-an untuk ke Arab Saudi, tetapi kemudian tinggal di Peshawar, Pakistan sebelum ke Afghanistan di mana beliau menyertai pasukan tentera bersama Osama.

Zawahiri dalam mesej videonya di Internet pada 8 Jun lalu berkata, al-Qaeda akan meneruskan perjuangannya.

"Osama telah pergi meninggalkan kita. Semoga Tuhan merahmatinya dan sebagai seorang yang mati syahid, kita perlu teruskan perjuangannya untuk menghapuskan semua penceroboh dari tanah Islam dan menyucikannya daripada ketidakadilan," katanya. - AFP/Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan