Kandungan radioaktif dalam laut
OSAKA, Japan - Paras kandungan radioaktif yang tinggi daripada tahap normal dikesan dalam air laut berdekatan loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima yang rosak akibat gempa bumi kuat pada 11 Mac lalu, lapor pengendali loji itu, syarikat Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) semalam.
Menurut jurucakap syarikat TEPCO, Naoki Tsunoda, tahap iodin-131 meningkat sebanyak 126.7 kali ganda dan sesium-134 pula 24.8 kali ganda tinggi daripada paras yang dibenarkan oleh kerajaan.
Katanya, kandungan tersebut dikesan dalam sampel air laut yang diambil kelmarin pada jarak 100 kilometer dari arah selatan loji Fukushima No. 1.
"Selain itu, tahap sesium-137 juga meningkat sehingga 16.5 kali ganda dan kobalt-58 pula lebih rendah daripada biasa.
"Namun, paras kandungan radioaktif itu masih lagi tidak membahayakan kesihatan manusia," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan terbaru kerosakan reaktor di loji jana kuasa nuklear Fukushima, pekerja-pekerja masih lagi berusaha untuk mengurangkan kerosakan loji tersebut.
Menurut agensi berita Kyodo, asap dan wap kelihatan keluar lagi daripada reaktor yang rosak semalam.
Kepulan wap putih dilihat keluar dari reaktor No.2 manakala asap seperti jerebu putih pula dilihat keluar daripada reaktor No.3.
Usaha-usaha menyembur air dan mengembalikan semula bekalan elektrik telah diberhentikan buat sementara tetapi kerja-kerja baik pulih disambung semula.
Dalam perkembangan yang berkaitan, sejumlah partikel kecil radioaktif dipercayai dari loji janakuasa nuklear Fukushima, Jepun telah dikesan berada di Iceland, kata sumber diplomatik semalam.
Namun, bahan radioaktif itu terlalu rendah untuk menyebabkan sebarang kemudaratan kepada manusia.- Agensi
+
Bencana alam vs kelalaian manusia
TOKYO - Hanya sebulan sebelum gempa kuat dan tsunami merosakkan loji Fukushima Daiichi yang menjadi fokus krisis nuklear di Jepun, kerajaan negara itu meluluskan tempoh tambahan 10 tahun bagi penggunaan reaktor di loji itu walaupun selepas diberi amaran mengenai tahap keselamatannya.
Jawatankuasa penyelia yang menilai pemanjangan tempoh penggunaan reaktor itu sedar mengenai retakan pada penjana elektrik di reaktor No.1, menurut rumusan penilaian yang dimuat naik ke laman sesawang agensi nuklear Jepun selepas setiap kali pemeriksaan dijalankan.
Retakan itu menyebabkan enjin penjana terdedah kepada risiko karat disebabkan air laut dan hujan dan akhirnya penjana itu rosak selepas dilanda tsunami 11 Mac lalu, menyebabkan sistem penyejukan penting di reaktor gagal berfungsi.
Sejak itu, syarikat Tokyo Electric Power (Tepco) yang mengendali loji itu bertungkus lumus memastikan reaktor yang mula memanas tidak mengeluarkan sebarang bahan radioaktif.
Beberapa minggu selepas tempoh pemanjangan diluluskan, Tepco mengakui syarikat itu gagal memeriksa 33 alatan yang berkaitan dengan sistem penyejukan, termasuk pam air dan penjana elektrik di keenam-enam reaktor di loji itu.
Menurut penyelia kerajaan, pengurusan penyelenggaraan dan kualiti pemeriksaan di loji itu tidak mencukupi.
Dan kurang dua minggu selepas laporan itu dikeluarkan, gempa bumi dan tsunami mencetuskan krisis nuklear di loji penjana tenaga itu.
Keputusan untuk memanjangkan jangka hayat reaktor dan kegagalan pemeriksaan menyeluruh di semua enam reaktor membuktikan hubungan tidak sihat antara pengendali loji nuklear dan pegawai kerajaan.
Panel pakar yang meluluskan pemanjangan penggunaan kebanyakannya adalah ahli akademik dan jarang mencabar agensi yang mengupah mereka.
Disebabkan tentangan daripada orang awam menyukarkan pembinaan loji nuklear baru, pengendali loji nuklear kerap melobi untuk memanjangkan jangka hayat reaktor melebihi had 40 tahun yang dibenarkan walaupun mengetahui terdapat isu keselamatan.
Kerajaan pula yang ingin mengembangkan penggunaan tenaga nuklear dan mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan bahan mentah selalunya akan menyebelahi pengendali loji.
Kelulusan bagi pemanjangan jangka hayat tempoh reaktor nuklear dilihat mula menjadi perkara biasa di seluruh dunia.
Dalam tempoh sedekad lagi di Jepun, 13 reaktor - dan lima reaktor di loji Fukushima Daiichi - akan mencecah usia 40 tahun, membabitkan kos penggantian reaktor yang sangat tinggi.
Menurut pengkritik, ini adalah salah satu sebab mengapa jawatankuasa penyelia yang memeriksa loji yang sudah berusia menolak tepi aspek keselamatan.
Jurutera, Mitsuhiko Tanaka yang mereka bentuk reaktor di loji Fukushima Daiichi berkata, reaktor di loji itu sudah ketinggalan zaman.
"Sudah tiba masanya reaktor itu diganti. Memang tsunami menyebabkan kerosakan teruk kepada reaktor tetapi alatan yang sudah lama di reaktor itu memburukkan lagi keadaan," katanya.
Jepun berhadapan dengan krisis nuklear terburuk negara itu sejak Perang Dunia Kedua apabila gempa sekuat 9.0 pada skala Richter melanda utara negara itu, 11 Mac lalu.
Sejak itu, sekurang-kurangnya empat letupan dan dua kebakaran berlaku di loji nuklear Fukushima Daiichi selain lebih 9,000 penduduk dilaporkan terkorban dalam bencana itu.
+
Krisis nuklear belum berakhir
TOKYO 22 Mac - Dua reaktor paling berbahaya di kompleks tenaga nuklear Fukushima, timur laut Jepun mengeluarkan kepulan asap dan wap hari ini, menggambarkan usaha mencegah malapetaka nuklear dan menyekat radiasi daripada merebak dari loji itu masih belum berhasil.
Pasukan juruteknik yang bertungkus-lumus di dalam zon bahaya di sekitar loji tersebut telah memasang kabel elektrik ke semua enam reaktornya dan menghidupkan sebuah pam untuk menyejukkan rod tenaga nuklear yang terlampau panas.
Bagaimanapun agensi berita Kyodo berkata, wap kelihatan keluar dari reaktor No. 2 manakala asap putih dikesan di atas reaktor No. 3, memaksa kerja ditangguhkan sementara waktu.
Semasa krisis itu, reaktor tersebut telah beberapa kali meletup dengan mengeluarkan wap yang dipercayai melepaskan sejumlah kecil zarah radioaktif.
Operator loji, Tokyo Electric Co. (TEPCO) kemudian berkata, keadaan di loji itu kini dianggap selamat untuk membolehkan kerja diteruskan bagi mengawal reaktor.
Selain krisis di loji tersebut, semakin banyak radiasi dikesan dalam sayur-sayuran, air dan susu, menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Jepun dan di luar negara sekalipun kerajaan memberi jaminan parasnya tidak berbahaya.
TEPCO berkata, radiasi dikesan di Lautan Pasifik berdekatan loji Fukushima, sesuatu yang tidak mengejutkan kerana berlaku hujan dan reaktor disejukkan dengan air laut.
Pakar berkata, mereka tidak pasti di mana akhirnya air laut yang telah digunakan itu dibuang.
Iodin radioaktif dalam sampel air laut didapati 126.7 kali lebih tinggi daripada paras dibenarkan, manakala bahan radioaktif caesium dikesan 24.8 kali lebih tinggi, lapor Kyodo.
Namun TEPCO berkata, paras tersebut masih tidak membahayakan kesihatan.
"Air itu perlu diminum sepanjang tahun untuk seseorang menyerap radiasi satu milisievert," kata seorang pegawai TEPCO yang merujuk kepada unit ukuran radiasi yang standard.
Manusia selalunya terdedah kepada satu hingga 10 milisievert setahun daripada radiasi sekitar berpunca daripada bahan di dalam air dan tanah. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan