Aktres ada masalah jantung hembus nafas terakhir depan keluarga
LOS ANGELES: Aktres legenda Hollywood, Elizabeth Taylor, yang mula menawan hati peminat menerusi filem National Velvet dan berlakon selama lima dekad selain berkahwin lapan kali, meninggal dunia semalam pada usia 79 tahun.
Taylor berada di hospital Cedars-Sinai, Los Angeles, selama enam minggu kerana masalah jantung yang mengganggu kesihatannya sejak beberapa tahun lalu dan menjadi punca kematiannya, menurut kenyataan keluarga aktres itu.
"Beliau ditemani anak-anaknya: Michael Wilding, Christopher Wilding, Liza Todd, dan Maria Burton," menurut kenyataan itu lagi.
Taylor menang dua anugerah Academy sebagai ak-tres terbaik termasuk filem klasik 1966 Who's Afraid of Virginia Woolf?.
Dilahirkan pada 27 Februari 1932 di London, beliau berpindah ke California bersama ibu bapanya pada 1939.
Kerjayanya bermula dengan filem 'There;s One Born Every Minute' pada 1942 sebelum diiktiraf sebagai bintang kanak-kanak terus terserlah dalam filem National Velvet pada 1944, mengisahkan seorang remaja perempuan menyamar lelaki menang dalam perlumbaan kuda dalam pertandingan Grand National.
Di sebalik kerjaya filem, Taylor juga terkenal kerana kahwin lapan kali bermula dengan 'playboy' Nicky Hilton ketika berusia 18 tahun pada 1950 tetapi perkahwinan itu hanya bertahan 203 hari.
Taylor kemudian berkahwin kali kedua dengan pelakon terkenal Britain, Michael Wilding yang tua 19 tahun daripadanya, pada 1952 dan dianugerahkan dua anak, Michael Jr dan Christopher.
Perkahwinan mereka berakhir pada 1956 dan dalam tempoh beberapa minggu, produser filem Michael Todd melamarnya.
Todd dianggap 'cinta pertama' Taylor dan mereka mendapat anak perempuan, Elizabeth Frances pada Ogos 1957.
Selepas Todd, Taylor berkahwin dengan Eddie Fisher, Richard Burton, John Warner dan Larry Fortensky. AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan