Khamis, 24 Mac 2011

Bilangan pesakit NCD meningkat

Ramai hadapi risiko kematian pramatang
 
PUTRAJAYA: Bilangan rakyat Malaysia yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kardiovaskular, diabetes dan angin ahmar kini bukan saja makin meningkat, malah menjadi antara penyebab utama kematian pramatang dan ketidakupayaan di kalangan masyarakat di negara ini.
 
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata berdasarkan kajian, dianggarkan 70 peratus daripada pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kerajaan disebabkan mengidap penyakit berkaitan NCD, manakala lebih 20 peratus daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital juga akibat penyakit berkenaan.
 
Katanya, kajian juga mendapati masalah obesiti di kalangan rakyat negara ini juga semakin serius dan Malaysia berada di kedudukan keenam senarai negara di rantau Asia yang mempunyai kadar peratusan orang dewasa mengalami obes tertinggi.
 
"Kajian kementerian menunjukkan masalah obesiti meningkat 200 peratus dalam tempoh 10 tahun iaitu daripada 4.4 peratus pada 1996 kepada 14 peratus pada 2006.
 
"Dianggarkan ketika ini, 1.7 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghadapi masalah obesiti dan ia amat membimbangkan kerana masalah itu meningkatkan risiko seseorang mendapat NCD seperti diabetes, kardiovaskular dan angin ahmar serta kanser," katanya ketika berucap di majlis pelancaran seminar Advokasi Pelan Strategik Kebangsaan bagi NCD 2011, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam.
 
Seminar berkenaan anjuran bersama Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan dan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM).
 
Tiong Lai berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini menganggap penyakit NCD sebagai satu wabak penyakit pada peringkat global yang perlu ditangani segera dan berkesan. - Berita Harian
 
Oleh Haika Khazi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan