SAN FRANCISCO 18 Nov. - Twitter kini sedang berusaha untuk 'berkawan' dengan Facebook walaupun menyedari usaha itu sukar dicapai, kata pengasas bersama laman web sosial itu.
"Kami sering berbincang dengan Facebook untuk bekerjasama tetapi setakat ini, kedua-dua pihak masih belum menemui jalan terbaik ke arah itu," kata pengasas Twitter, Evan Williams.
Beliau mengulas mengenai hubungan Twitter dengan Facebook ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Web 2.0 di sini semalam.
Menurutnya, beliau kecewa dengan tindakan Facebook yang tidak membenarkan penggunanya melihat senarai kenalan mereka sama ada ia mempunyai akaun Twitter atau tidak.
"Kami mahu pengguna mudah menggunakan Facebook dan Twitter pada masa yang sama," katanya.
Sementara itu, William enggan mengulas apabila ditanya tentang laporan portal berita teknologi, TechCrunch yang melaporkan bilionair Rusia dari syarikat DST Global, Yuri Milner berminat untuk melabur bersama Twitter.
Ketika ditemui di sini semalam, Milner juga enggan mengulas tentang laporan mengenai minatnya untuk melabur bersama laman web sosial terkemuka itu.
Kata Milner, beliau hanya berminat untuk melabur dalam syarikat Internet yang mempunyai nilai tinggi dan Twitter menepati ciri-ciri yang disebutnya.
Beliau merupakan pemegang saham dalam Facebook, syarikat permainan komputer dalam talian, Zynga dan syarikat perdagangan dalam talian, Groupon.
Pengguna Twitter kini meningkat secara mendadak sejak ia diperkenalkan di sini pada 2006. - AFP

Tiada ulasan:
Catat Ulasan