NEW DELHI 16 Nov. - Pasukan penyelamat menggunakan penyodok, mesin penggali dan tangan mereka sendiri untuk mencari mangsa yang tertimbus dalam kejadian bangunan kediaman lima tingkat runtuh dan menyebabkan sekurang-kurangnya 60 orang maut di sini hari ini.
Polis dan pasukan penyelamat berkata, 78 orang cedera dan sekurang-kurangnya 30 lagi dipercayai terperangkap di dalam runtuhan selepas kejadian yang berlaku pada malam semalam.
"Laluan itu sangat sempit. Ia menyukarkan pasukan penyelamat untuk sampai ke situ," kata Ketua Menteri Delhi, Sheila Dikshit.
Beliau menyalahkan kerja-kerja pembinaan bangunan yang tidak betul mengakibatkan runtuhan itu berlaku.
Dikshit berkata, kerajaannya akan mengarahkan satu siasatan dijalankan berhubung kejadian itu.
Pihak berkuasa tempatan berkata, bangunan itu runtuh kerana tingkat bawah tanahnya ditakungi air selama beberapa hari selepas dilanda hujan lebat monsun.
Kebanyakan bangunan di India tidak mematuhi peraturan keselamatan atau pengezonan, dengan pemilik-pemilik bangunan membina tingkat tambahan atau struktur-struktur tanpa kelulusan.
Seorang penduduk tempatan berkata, dia masih mencari anak lelakinya yang hilang.
"Pada mulanya saya melihat plaster dari bumbung flat saya jatuh dan tidak sampai beberapa minit saya menyedari yang seluruh bangunan telah runtuh," katanya. - REUTERS
+
Operasi cari mangsa runtuhan dihentikan
NEW DELHI 17 Nov. - Pasukan penyelamat menggunakan jentolak bagi membersihkan runtuhan dari tapak bangunan kediaman lima tingkat yang runtuh dan mengorbankan sekurang-kurangnya 67 orang, setelah harapan untuk menemui mangsa yang terselamat pudar.
Pasukan penyelamat telah menggeledah dan mencari di bawah longgokan konkrit dan batang besi sejak malam Isnin lalu ketika bangunan yang didiami sejumlah keluarga golongan miskin itu runtuh.
Akhbar Hindustan Times melaporkan, kemungkinan terdapat 20 orang lagi mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan tersebut.
Punca kejadian tersebut dikatakan mungkin disebabkan kualiti pembinaan yang rendah, air bertakung dari sungai berdekatan iaitu Sungai Yamuna dan penambahan tingkat bangunan secara haram pada struktur bangunan itu.
Pihak berkuasa bandar raya berkata, mereka akan melakukan pemeriksaan ke atas beberapa lagi apartmen di New Delhi bagi mengelak kejadian itu berulang.
"Kami telah mengeluarkan petugas, hanya jentera yang berada di tapak runtuhan itu ketika ini.
"Sejak semalam, kami hanya menemui perabot dan barang-barang keperluan rumah yang rosak, kami tidak mengangkat mayat, sekarang tiada lagi harapan untuk menemui mangsa yang terselamat," kata sukarelawan yang menyertai aktiviti menyelamat, Gulshan Rai kepada AFP.
Jurucakap polis New Delhi, Rajan Bhagat berkata, seramai 67 disahkan maut tetapi tidak dapat dipastikan jumlah mangsa yang masih hilang manakala seramai 100 lagi mangsa dilaporkan cedera.
"Kami sedang memindahkan runtuhan ketika ini, kami tidak boleh membuat spekulasi jumlah sebenar kematian kejadian tersebut," katanya. - AFP
+













Tiada ulasan:
Catat Ulasan