Ahad, 21 November 2010

Petugas WWF - Malaysia Menang Hadiah Utama Pertandingan Foto Majalah BBC Wildlife

KUALA LUMPUR, 19 Nov. - Sekeping foto menunjukkan dua ekor harimau Malaya memandang ke arah kamera yang dipasang di hutan Semenanjung Malaysia, memenangi hadiah utama pertandingan foto kamera perangkap anjuran BBC Wildlife Magazine dengan kerjasama World Land Trust.

Foto berkenaan, yang merakamkan aksi seekor harimau betina bersama anaknya, kiriman Ketua Unit Pemantauan Harimau WWW-Malaysia, Mark Rayan, mengalahkan beratus penyertaan lain untuk meraih hadiah US$2,000 sebagai pemenang keseluruhan pertandingan itu, di samping hadiah US$1,000 bagi kategori Portret Haiwan Terbaik.

Rayan berkata foto seekor harimau betina dan anaknya yang dirakam dalam bingkai yang sama agak jarang ditemui kerana selalunya harimau betina akan berjalan di hadapan anaknya.

"Oleh kerana kamera perangkap mempunyai jarak masa untuk merakamkam sesuatu gambar, lazimnya, imej harimau betina itu akan dirakamkan terlebih dahulu dan imej anaknya berkemungkinan tidak akan dapat dirakam langsung," katanya dalam kenyataan di sini.

Kamera yang merakamkan gambar luar biasa itu dipasang oleh seorang lagi anggota projek berkenaan - Christopher Wong.

Pertandingan yang menerima lebih 700 penyertaan dari seluruh dunia itu dilancarkan pada April tahun ini untuk memberi penghargaan terhadap foto luar biasa tentang hidupan liar yang dirakam tanpa melibatkan banyak gangguan terhadap kehidupan dan habitat mereka.

Foto yang memenangi hadiah utama ini disiarkan dalam BBC Wildlife Magazine keluaran Disember dan dalam laman web www.bbcwildlifemagazine.com. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan