Ahad, 14 November 2010

Penjualan Vegrow Capsule diharamkan

KUALA LUMPUR : Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan mengharamkan penjualan, pengedaran dan penggunaan produk tradisional Vegrow Capsule selepas dikesan mempunyai racun berjadual thiodimethylsildenafil (analog sildenafil) yang boleh menyebabkan kesan terhadap kardiovaskular seperti kegagalan jantung, hipotensi postural, berdebar dan susah bernafas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata mana-mana pihak yang memiliki stok produk yang dikilangkan oleh Solar Victory Sdn Bhd itu dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan produk serta-merta.
 
Beliau berkata, produk dengan nombor pendaftaran MAL08111900TC yang dipegang Maxherbs Trading, Selangor yang dibatalkan pendaftarannya pada 28 Oktober lalu dikesan mempunyai sildenafil iaitu sejenis ubat digunakan untuk merawat mati pucuk yang tidak dibenarkan dalam ubat tradisional.
 
Dr Mohd Ismail yang juga Pengerusi PBKD berkata, ubat yang mengandungi sildenafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh daripada farmasi dengan preskripsi doktor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan