Khamis, 25 November 2010

Kereta elektrik cetus masalah bekalan tenaga

Jaguar CX75, sebuah kereta elektrik yang dipamerkan pada Pameran Auto Los Angeles 2010 pada 17 November lalu.

NEW YORK 23 Nov. - Menjelang pemasaran kereta elektrik secara besar-besaran bulan depan, syarikat-syarikat pembekal tenaga elektrik di Amerika Syarikat (AS) kini mula teruja atau bimbang.

Sebuah kereta elektrik memerlukan jumlah tenaga elektrik bersamaan keperluan sebuah rumah kecil untuk beroperasi, sekali gus menyebabkan peningkatan mendadak ke atas tenaga tersebut yang mungkin boleh menyebabkan sebuah rumah bergelap atau satu kawasan penempatan mengalami masalah bekalan elektrik.

Bagi menampung keperluan itu, syarikat-syarikat pembekal tenaga elektrik di California, Texas dan Carolina Utara kini berusaha menaik taraf alat pengubah tenaga elektrik serta kelengkapan lain di kawasan-kawasan perumahan tertentu yang menyaksikan permintaan tinggi terhadap kereta seperti Nissan Leaf dan Chevrolet Volt.

Sejak alat penyaman udara dipasang secara meluas di AS pada 1950-an dan 1960-an, industri tenaga negara ini terus berkembang dengan penduduk AS pada tahun lalu membelanjakan sebanyak AS$325 bilion (RM1.04 trilion) bagi gasolin.

Cabaran utama penggunaan skala besar kereta elektrik adalah kos yang tinggi serta julat yang terhad, sekurang-kurangnya sehingga satu rangkaian stesen mengecas dibina.

Syarikat-syarikat pembekal tenaga elektrik bagaimanapun bimbang, kesukaran menyediakan bekalan elektrik kepada pembeli pertama di samping mengekalkan tenaga tersebut di rumah, mungkin melambatkan pertumbuhan persekitaran baru itu.

"Anda tidak akan dapat peluang kedua untuk memberikan tanggapan baik pada kali pertama," kata Mike Rowand yang bertanggungjawab ke atas perancangan kereta elektrik di Duke Energy.

Eksekutif-eksekutif automotif berkata, syarikat-syarikat pembekal tenaga elektrik pasti akan berhadapan masalah pada peringkat awal.

"Semua pihak tidak perlu bimbang kerana kita akan lebih bijak dua tahun dari sekarang," kata pengarah perancangan produk untuk Nissan di Amerika Utara, Mark Perry.

Sebanyak 30,000 unit kereta elektrik Nissan Leafs dan Chevrolet Volts dijangka dijual menjelang tahun depan dengan beberapa pengeluar automotif utama seperti Ford dan Toyota dilapor bakal mengeluarkan kereta sama dalam tempoh dua tahun akan datang. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan