Selasa, 9 November 2010

Aidiladha Arab Saudi awal

Singapura, Indonesia sambut hari raya korban 17 November

RIYADH: Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan tarikh Aidiladha disambut pada 16 November ini bersamaan Selasa, cepat sehari berbanding Malaysia, Singapura dan Indonesia.
 
Pengumuman itu dibuat selepas pihak berkuasa Arab Saudi melakukan upacara melihat anak bulan. UAE pula mengumumkan bahawa Ahad, 14 November adalah hari pertama Dhu Al Hijja.
 
Ia bermaksud hari raya korban bermula dua hari kemudian, iaitu Selasa, 16 November, walaupun cuti rasmi bagi sektor kerajaan dan swasta belum diumumkan.

Sementara itu, di SINGAPURA, Mufti Syed Isa Semait mengisytiharkan tarikh Aidiladha tahun ini jatuh pada Rabu, 17 November.

Menurutnya, mengikut kiraan hisab, anak bulan tidak mungkin dapat dilihat selepas matahari terbenam petang kelmarin, kerana ia terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar.

Oleh itu, semalam adalah hari genap bagi bulan Zulkaedah selama 30 hari dan awal bulan Zulhijah jatuh pada hari ini dan hari raya korban pula, iaitu 10 Zulhijjah, pada Rabu minggu depan.

Haji adalah perhimpunan tahunan besar-besaran umat Islam yang menyaksikan kira-kira 1.5 juta umat Islam menunaikan Rukun Islam itu di bandar suci Makkah dan Madinah di barat Arab Saudi. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan