Jumaat, 2 April 2010

Ubat stres ada dalam diri sendiri

Semasa menghadiri ESQ Self Control & Collaboration di Granada Ballroom Menara 165 Jakarta, Pengasas ESQ Leadership Center Dr H.C Ary Ginanjar Agustian menegaskan, apabila kita selalu berbahagi ilmu, amal dan kebajikan, maka Allah SWT akan memberi lebih banyak lagi apa yang kita perlukan.

Bukankah itu satu cara mudah untuk kita meneruskan fitrah sebagai manusia? Tidak perlu modal besar. Tidak perlu kerja keras. Hanya beramal dan terus beramal. Tokoh spiritual itu bukan sahaja popular di Indonesia malah di Malaysia juga. Namanya menjadi sebutan dan kedatangannya selalu dinanti-nantikan. Kini Alumni ESQ sudah berjuta jumlahnya di seluruh dunia. Jika semuanya berjaya membentuk peradaban Muslim yang luar biasa dan memperjuang-kan Islam sebagai satu tamadun serta cara hidup yang agung, alangkah bahagianya kita.

Tidak dinafikan dalam melayari kehidupan moden yang serba laju, serba kalut dan sering dikejar masa, kita selalu alpa. Kita menjadi seorang yang sombong dengan kewujudan. Ada kalanya waktu solat dilengah-lengahkan. Ataupun jika bersolat, fikiran jauh dibawa ke tempat lain. Akibatnya kita hanya menggerakkan fizikal sahaja. Dahi cecah sejadah namun hati sekejap lupa, sekejap ingat pada Allah.

Bagi yang berkerjaya pula selalu tertekan dengan prestasi. Kompe-titif amat digalakkan. Key perfor-mance indicator (KPI) yang meletakkan satu demi satu tahap pencapaian seberapa boleh mahu dicapai. Berdaya saing sesama rakan sudah lumrah. Satu tangga demi satu tangga kerjaya menjadi matlamat. Tidakkah semua itu menjadikan kita semakin sibuk dan ada kalanya tidak sempat makan tengah hari dan terus bekerja hingga lewat malam? Ya solat anda bagaimana Allah ada dalam hati!

Ada juga yang sibuk hingga tidak terfikirkan keperluan orang keliling, sama ada keperluan zahir, emosi dan spiritual. Kita melengah-lengahkan perhatian untuk mereka. Kita buat-buat lupa apa kehendak jiran, rakan-rakan sepejabat, adik-beradik dan saudara-mara. Kita tidak sedar, sebenarnya mereka sedang ternanti-nanti perhatian kita Ya, senyumlah. Itu pun sudah memadai untuk mereka.

Apabila stres tiba, kita terus kalah. Stres menjadikan kita semakin down. Dan mulut dengan beraninya cepat sahaja berkata Allah SWT tidak menyebelahi, tidak sayangkan kita dengan memberi pelbagai ujian dan dugaan. Satu demi satu ujian semakin membuatkan kita terus lemas.

Namun sebenarnya sama seperti kebajikan lain, ubat paling mujarab untuk stres ialah membantu orang lain yang menghadapi tekanan. Cubalah dan lihat sendiri. “The best cure for stress is to deliberately lift someone else stress with your empathy and sympathy (while you are stressful)”- Benett.

Oleh itu sekiranya anda stres cepatlah cari orang lain yang stres dan hasilnya amat menakjubkan. Bantu mereka, redakan ketegangan, ringankan keperitan. Ia lebih baik daripada anda duduk bersendiri melayan stres sendiri. Duduk termenung dalam bilik, terkelip-kelip hingga tengah malam kerana mata enggan lena. Sebenarnya rasa ingin lari daripada orang lain akan membuat kita bertambah stres

Bersedekah nasihat, menyumbang kata-kata perangsang dan memberikan nafas baru kepada orang lain amat besar nilainya. Sebenarnya kita memberikan mereka harapan. Sekiranya anda seorang ketua, harapan diberi akan dapat membantu membawa keluarganya keluar daripada tenggelam dalam masalah. Isteri dan anak-anaknya akan bergembira semula apabila melihat ketua keluarga mereka dalam bahagia.

Ia lebih besar ertinya daripada kita memberinya wang ringgit. Wang dan harta benda akan habis. Namun kata-kata perangsang kita akan dibawanya menjadi bekal seumur hidupnya. Dia pula mung-kin akan menggunakan kata-kata perangsang kita kepada isterinya dan isterinya pula akan turunkan kepada anak-anak mereka pula.

Hidup adalah perjuangan. Maka meneruskan perjuangan adalah satu fitrah. Sesungguhnya berbaha-gialah kita dalam pengorbanan itu. Sampai bila-bila sekali pun Allah SWT tidak akan meninggalkan kita. Dia akan memberikan kita bahagia dalam saat kita kesedihan dan kekecewaan. Dia memberi kita jalan ketika dalam kekeliruan dan hida-yah ketika kebingungan.

Janganlah kita didorong dengan fikiran tidak baik, kata-kata negatif dan hati yang kotor. Dosa ada di mana-mana, malah perkara tidak baik terdetik di hati juga sudah menjadi dosa. Apalagi jika kita menarik muka masam dan sengaja tidak endahkan permintaan orang yang kurang berkemampuan.

Usah kita ikutkan langkah hati kita yang keliru. Usah kita layan jiwa yang alpa. Sesungguhnya Allah yang sempurna. Dia lebih kuat, kitalah yang lemah. – S
inar Harian (Oleh - Sri Diah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan