Khamis, 8 April 2010

Spesies biawak baru ditemui di Filipina

BIAWAK hutan Sierra Madre yang dikenal pasti spesies biawak baru ditemui di Filipina oleh saintis

WASHINGTON 7 April - Seekor biawak besar jenis herbivor yang tinggal di pokok di Luzon, Filipina merupakan spesies reptilia yang baru, menurut saintis, kelmarin.

Rafe Brown yang mana pasukannya dari Universiti Kansas yang menemui binatang itu berkata, reptilia yang berwarna cerah seakan-akan warna hutan itu boleh membesar melebihi 2 meter panjang dengan berat sebanyak 10 kilogram.

"Ia hidup di atas pokok, supaya ia tidak boleh membesar seperti biawak Komodo, yang hanya memakan daging dengan banyak. Namun biawak sejenis ini hanya makan buah-buahan dan merupakan spesies reptilia ketiga di dunia ini yang memakan buah-buahan," katanya.

Brown berkata, penemuan sejenis reptilia besar ini yang dikelaskan dalam kategori haiwan vertebrat atau bertulang belakang adalah amat jarang sekali ditemui.

Menurutnya, biawak itu merupakan sejenis reptilia baru jenis Varnus, keracak (lincah) dan boleh menyembunyikan diri daripada ditemui manusia yang merupakan pemangsa utamanya yang juga menyebabkan ia amat sukar untuk dicari oleh saintis selama ini.

Ahli biologi buat pertama kalinya melihat gambar biawak itu pada tahun 2009, namun spesies tersebut tidak diberi pengenalpastian saintifik.

Selepas beberapa tahun, Brown berkata, ahli biologi sering mendengar cerita dari penduduk setempat mengenai dua jenis biawak yang merupakan makanan kegemaran mereka.

Katanya, mereka suka memakan biawak itu kerana rasanya lebih enak daripada biawak yang tinggal di kawasan tanah dan ia juga digambarkan besar dan mempunyai warna yang lebih cerah. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan