Keajaiban 115 pelombong diselamatkan
BEIJING 5 April - Sekurang-kurangnya 115 pekerja daripada 153 orang ditemui masih selamat di dalam sebuah lombong arang batu di China selepas lebih seminggu mereka terperangkap di lombong itu, akibat banjir dan media tempatan menyifatkannya sebagai keajaiban.
Menurut laporan, beberapa buah ambulans dilihat berada di luar kawasan lombong itu bagi mengangkut mangsa yang terselamat, manakala beberapa buah hospital di wilayah tersebut juga bersedia untuk memberikan rawatan kepada mangsa.
Seramai 153 pekerja terperangkap di dalam lombong Wangjialing di wilayah Shanxi sejak ia ditenggelami air pada 28 Mac lalu semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan di dalam lombong itu.
Ia merupakan kejadian terbaru dalam industri perlombongan yang berbahaya di negara itu.
Televisyen Pusat China sebelum ini merakamkan sembilan mangsa pertama yang terselamat dibawa keluar dari lombong itu menggunakan pengusung, dibalut dengan selimut berwarna hijau, selain tuala menutupi muka bagi melindungi daripada cahaya.
Pasukan penyelamat yang memakai uniform berwarna oren mengangkut mereka ke dalam ambulans, manakala kakitangan perubatan yang berpakaian putih membantu memberikan oksigen dan ubat-ubatan kepada mangsa.
Televisyen tempatan beberapa kali menayangkan adegan menyelamat itu ketika China meraikan 'hari membersihkan kubur', cuti umum bagi memperingati mereka yang telah meninggal dunia.
Ribuan penduduk berdiri di sepanjang jalan dari lombong itu sambil bertepuk tangan ketika ambulans membawa mangsa pertama yang terselamat lalu di hadapan mereka, menurut agensi berita Xinhua.
Keadaan sembilan mangsa pertama terbabit dikatakan stabil, menurut laporan Perkhidmatan Berita China memetik pegawai hospital di bandar Hejin, kira-kira 50 kilometer daripada lombong itu, sebagai berkata. - AFP



















Tiada ulasan:
Catat Ulasan