Jumaat, 16 April 2010

Makam jurutulis diraja purba Mesir ditemui

KAHERAH 15 April - Satu makam jurutulis diraja purba yang dihiasi inskripsi kuno dijumpai di timur Kaherah, dalam satu penemuan yang bakal menjelaskan hubungan antara Mesir dengan jiran-jiran timurnya.

Makam yang dihiasi dengan tulisan serta lukisan kompleks itu dimiliki Ken-Amun, individu yang bertanggungjawab menyelia rekod-rekod diraja semasa Dinasti ke-19 (1315-1201 sebelum Masihi).

Ketua Majlis Tertinggi Antikuiti, Zahi Hawass berkata, ia ditemui di kampung Tell el-Maskhuta, kira-kira 120 kilometer di timur Kaherah.

Tell el-Maskhuta merupakan kawasan penempatan di bawah pentadbiran Ismailia yang turut menempatkan tentera bersenjata purba Mesir sebelum pasukan itu melaksanakan kempen ketenteraan di sempadan timur.

Makam Ken-Amun merupakan yang pertama ditemui bagi era dinasti Ramesside di Mesir Selatan dan ia dibina menggunakan batu-bata lumpur, mengandungi satu bilik segi empat tepat dengan siling berbentuk kubah diperbuat daripada batu.

Hawass berkata, inskripsi yang terdapat pada makam itu boleh membantu untuk memahami hubungan Mesir dengan jiran-jirannya di timur.

Dinding di dalam makan tersebut dihiasi dengan ukiran timbul yang memaparkan lukisan wanita sedang meratapi kematian serta upacara pengebumian termasuk Bab 12 daripada Buku Kematian iaitu sebuah teks purba yang menerangkan tentang kehidupan selepas mati.

Inskripsi pada dinding tersebut memberitahu bahawa isteri Ken-Amun yang bernama Isis bekerja sebagai pemuzik untuk dewa Mesir purba, Atum.

Turut ditemui bersama-sama makam tersebut satu tiang batu kapur yang tertera lukisan dewa Set, dewa kegelapan dan kekacauan, serta nama ibu negara purba Hyksos, kawasan yang diserang rakyat Asia yang menjajah timur Delta Nil semasa Dinasti ke-12.

Di kawasan yang sama, 35 kubur era Roman turut ditemui. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan