Khamis, 15 April 2010

Kompleks hotel mega dibina di Mekah menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia

Gambar ilustrasi artis menunjukkan kompleks Menara Abraj al-Bayt berdekatan dengan Masjidil Haram di Mekah.  & Gambar dalam pembinaan.

 

Kompleks hotel 777 meter di tanah suci Makkah

DUBAI:
Sebuah kompleks hotel gergasi yang sedang dalam pembinaan di Mekah bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia, dan memaparkan jam enam kali lebih besar daripada Big Ben di London.

 

Menara Jam Diraja Makkah diperbuat dengan 662 meter struktur konkrit dan puncaknya berukuran 115 meter, yang mempunyai bentuk bulan sabit di atasnya, kata pengurus besarnya, Mohammed al-Arkubi pada sidang akhbar di Dubai semalam.

Kompleks tujuh menara hotel yang dikenali sebagai Menara Abraj al-Bayt itu akan mengandungi 3,000 buah bilik dan suite, kebanyakannya menghadap Masjidilharam.

Ketinggian kedua-dua menara itu hanya kurang kira-kira 11 meter daripada struktur Burj Khalifa di sini, menara tertinggi dunia yang mencapai ketinggian 828 meter.

Bahagian konkrit Menara Jam Diraja Makkah itu bagaimanapun lebih tinggi daripada bangunan kedua tertinggi dunia, Taipei 101 di Taiwan yang berukuran 508 meter.

Bahagian pertama hotel ini akan dibuka pada penghujung Jun depan, sementara jamnya akan mula beroperasi pada hujung Julai menjelang bulan Ramadan, yang dijangka pada 10 Ogos depan,” kata Mohammed.

Jam buatan Jerman itu, yang dikatakan ‘jam terbesar dunia’, berukuran 45 meter lebar dan 43 meter tinggi di semua empat belah menara, katanya.

Jam tersebut dijangka boleh kelihatan sejauh 17 kilometer pada waktu malam dan 11 hingga 12 kilometer pada waktu siang.

Kompleks itu dibina oleh syarikat hartanah gergasi, Bin Laden Group, bagi pihak kerajaan Saudi.  – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan