Selasa, 6 April 2010

Discovery terakhir ke ISS

KAPAL angkasa Discovery 'menghilang' ke langit semasa berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Cape Canaveral, Florida, semalam.

CAPE CANAVERAL, Florida - 5 April - Kapal angkasa Discovery bersama tujuh angkasawan hari ini berlepas ke orbit dalam misi terakhir penambahan stok Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Pelancaran yang dilakukan kurang dari sejam sebelum matahari terbit (waktu Amerika) turut mencatatkan rekod dengan kebanyakan angkasawan yang terlibat terdiri di kalangan kaum wanita.

Seramai tiga angkasawan wanita menaiki Discovery manakala empat yang lain telah pun berada di stesen angkasa.

Kapal angkasa itu dijangka tiba di stesen berkenaan Rabu ini.

Diketuai oleh Komander Alan Poindexter, beliau dan krewnya akan menghabiskan sembilan hari di ISS untuk menghantar bekalan termasuk menukar tangki ammonia baru untuk sistem penyejukan.

Pasukan itu juga akan menjalankan eksperimen sains termasuk menyediakan tempat tidur, sebuah bilik gelap untuk tingkap makmal berkualiti tinggi dan peralatan lain.

Kesemua bahan ini diperlukan bagi memastikan stesen angkasa itu mampu beroperasi lebih lama selepas tiga buah kapal angkasa milik NASA tidak lagi diterbangkan. - AP

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan