Sabtu, 24 April 2010

AS bimbang tumpahan minyak cemari lautan

NEW ORLEANS 23 April - Pelantar minyak yang terbakar di Teluk Mexico runtuh ke laut semalam, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya bencana alam sekitar, dua hari selepas kebakaran besar mengakibatkan 11 pekerja hilang.

Pihak berkuasa maritim Amerika Syarikat (AS) melaporkan, tumpahan minyak mentah boleh dilihat di kawasan kejadian di mana pelantar minyak Deepwater Horizon berada sebelum ini, walaupun agensi itu masih belum dapat menentukan kadar tumpahan yang berlaku.

Di Washington, Presiden Barack Obama melalui satu kenyataan yang dikeluarkan White House mengatakan, kerajaan Persekutuan menyifatkan kejadian itu sebagai 'satu keutamaan'.

Obama berkata, kerajaan Persekutuan turut menawarkan semua bantuan yang perlu bagi usaha menyelamat, meringankan serta memberi tindak balas kepada kesan alam sekitar.

Menurut pegawai, terdapat kira-kira 2.6 juta liter minyak diesel sebelum letupan berlaku di pelantar tersebut, di mana kerja-kerja menggali minyak sebanyak 8,000 tong dilakukan setiap hari.

"Insiden ini dilihat sebagai tumpahan minyak besar," kata ketua pegawai kecil kanan Pengawal Pantai AS, Mike O'Berry kepada AFP.

Pengawal Pantai berkata, 1.6 daripada 8 kilometer tumpahan minyak yang berlaku telah dapat dilihat kira-kira 70 kilometer dari pantai ketika operasi pembersihan besar-besaran dijalankan bagi menghalang minyak daripada terkena kawasan darat di negeri berhampiran teluk iaitu Louisiana, Alabama dan Mississippi.

Kapal pengawai pantai lewat malam tadi meneruskan operasi mencari 11 pekerja yang hilang sementara syarikat minyak gergasi Britain, BP yang menyewakan pelantar minyak tersebut turut menghantar bot-bot bagi meneliti kesan tumpahan minyak kepada alam sekitar.

Pegawai berkata, tumpahan minyak terbaru itu merupakan yang terburuk di AS sejak 1989 apabila kapal tangki Exxon Valdez menumpahkan minyak.

Tumpahan minyak tersebut jauh lebih besar daripada kejadian terbaru di Teluk AS, menumpahkan hampir 41.6 juta liter minyak mentah ke Prince William Sound, Alaska, menjejaskan keaslian kira-kira 1,300 kilometer pantainya. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan