Ledakan gunung berapi Katla di Iceland dijangka lebih besar
LONDON: Presiden Iceland, Olafur Grimsson dan saintis bimbang satu lagi gunung berapi diberi nama Katla, akan meletus sekali gus memburukkan semula keadaan.
“Katla lebih besar dan hanya berlaku sekali setahun. Kali terakhir ia meletus ialah 1918, jadi kita perlu berwaspada. Sebab itu, kami ada pelan kecemasan. Kerajaan Eropah lain dan firma penerbangan juga perlu merancang lebih awal,” katanya. Katla terletak di sebelah timur gunung Eyjafjallajokull lebih kecil yang memuntahkan gumpalan debu ke ruang udara hingga melumpuhkan penerbangan antarabangsa.
Kadar debu hitam gunung berapi Iceland berkurangan dengan mendadak kelmarin, membenarkan pihak berkuasa mengurangkan sekatan ke atas penerbangan.
Bagaimanapun, gunung berapi terbabit mungkin meletup lagi dalam tempoh beberapa hari, minggu atau berbulan lamanya, kata pakar.
Jika berulang, debu itu mungkin kembali menyelimuti Britain dan bahagian utara Eropah, menyebabkan pesawat terkandas semula. Selepas beberapa hari aktiviti letupan, gunung berapi Eyjafjallajokull mula tenang, semalam.
Awan debu minggu lalu amat dramatik dan terlalu tinggi di atmosfera kerana bahagian atas gunung berapi terbabit dilitupi lapisan ais yang tebal.
Kombinasi air dan ais dalam lahar yang meletus menjana letupan kuat yang menyebabkan gumpalan debu beribu-ribu meter tinggi.
Namun, sebahagian besar ais meliputi kawah gunung berapi sudah cair, membenarkan lahar mengalir tanpa membahayakan penduduk.
Bagaimanapun, pakar geologi menekankan, tempoh berehat kemungkinan hanya sementara.
Dr Dave McGarvie, dari Open University berkata: “Memang biasa letusan bermula dengan bertenaga dan kemudian senyap pada satu ketika selepas lahar dimuntahkan. Pada masa sama, letusan seperti ini mungkin berlaku beberapa pusingan dan ledakan boleh bermula bila-bila masa.”
“Sama ada ia akan mendatangkan masalah bergantung kepada kekuatan letusan itu, jenis magma yang keluar, berapa pantas ia meletus serta berapa banyak interaksi dengan ais dalam kawah.”
Dr Sue Loughlin dari Biro Kajian Geologi Britain berkata: “Dua gunung berapi itu berdekatan antara satu sama lain dan tiga daripada empat letusan sebelumnya di Eyjafjallajokull dikaitkan dengan letusan di Katla”. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan