Lelaki, wanita kurang menjaga penampilan lepas berumah tangga
SALONIKA: Mereka yang berkahwin kemungkinan dua kali ganda menjadi obesiti atau gemuk berbanding masih bujang, saintis mendakwa.
Penyelidik dari Greece mendapati pasangan berkahwin lebih mudah menjadi gemuk berikutan perubahan ketara gaya hidup apabila mereka tidak lagi hirau terhadap penampilan diri masing-masing. Penyelidikan yang dibuat berdasarkan tinjauan terhadap lebih 17,000 pasangan berusia 20 dan 70 tahun, mendapati bahawa pasangan berkahwin kurang bersenam, kurang mengadakan hubungan seks, kurang mengambil makanan tambahan dan selesa dengan kehidupan mereka.
Pasangan berkahwin menghabiskan banyak masa makan bersama, duduk di hadapan televisyen dan membuat tempahan makanan segera namun kurang bersenam.
Saintis dari Universiti Salonica dan Ioannina, yang membentangkan penyelidikan mereka Jumaat lalu kepada Persidangan Perubatan Panhellenic di Athens, membuat kesimpulan bahawa kegemukan abdomen atau lemak perut adalah masalah paling teruk di kalangan pasangan berkahwin.
Prof Dimitris Kiortsis, seorang daripada penulis bersama kajian, berkata kegemukan didapati berkaitan secara langsung terhadap perubahan gaya hidup.
Prof Kiortsis, dari Universiti Ioannina yang juga Presiden Persatuan Perubatan Hellenic untuk kegemukan, berkata kebanyakan pasangan berkahwin juga kurang melakukan seks, yang dianggap senaman hebat yang membakar kalori.
Beliau berkata individu bujang pada mulanya menghabiskan banyak masa untuk kekal sihat dan membuat diri mereka menarik bagi mencari pasangan namun sebaik saja mereka berkahwin, mereka tidak menjaga diri.
“Keperluan mencari pasangan tidak lagi dirasai selepas berkahwin,” katanya.
Kajian itu menasihatkan pasangan berkahwin supaya lebih kerap bersenam, makan masakan dimasak sendiri sekali sehari, mengelak makan snek dan mengikuti diet Mediterranean termasuk banyak mengambil buah-buahan, sayuran dan minyak zaitun.
Prof Dimitris Papazoglou, penulis bersama dari Universiti Salonica, menambah: “Jika salah seorang pasangan mengambil keputusan mengikuti diet, kemudian pasangan seorang lagi sering ikut serta.”
“Obesiti adalah ancaman terbesar kepada kesihatan awam di seluruh dunia,” katanya. – Agensi

Tiada ulasan:
Catat Ulasan