Ahad, 11 Oktober 2009

“Tips untuk elak letih memandu”

KELETIHAN semasa memandu merupakan punca utama kemalangan jalan raya. Kemalangan sebegini boleh terjadi pada bila-bila masa, tetapi masa paling kerap ialah di antara pukul 10 malam hingga 8 pagi dan awal pagi hingga tengah hari.

  • Kemalangan yang berpunca dari rasa letih lazimnya menyebabkan kecederaan yang teruk berbanding kemalangan akibat punca- punca lain.
  • Pemandu yang keletihan bertindak balas lebih lambat dan pertimbangannya mudah terganggu.
  • Ini menyebabkan terjadinya kemalangan yang mengakibatkan beribu-ribu kecederaan dan kematian setiap tahun, yang pada hakikatnya boleh dielakkan.
Apakah yang dimaksudkan dengan keletihan semasa memandu?
  • Keletihan yang amat sangat lazimnya disebabkan oleh masalah-masalah psikologi seperti berasa kekurangan tenaga, kepenatan atau keletihan.
  • Dalam kebanyakan kes, keletihan yang amat sangat dikaitkan dengan kebosanan, kesedihan, kekecewaan, kurang tidur atau teruk bekerja.
  • Rasa letih yang keterlaluan ini tidak sama seperti rasa mengantuk, tetapi biasanya keinginan untuk tidur akan timbul seiring dengan rasa letih yang sebegini.

Punca-punca keletihan semasa memandu
  • Memandu untuk jangka masa yang lama tanpa berhenti rehat
  • Mengambil alkohol
  • Kurang tidur dan rehat
  • Ubat-ubatan seperti antihistamin, antihipertensi, sedatif atau diuretik
  • Masalah kesihatan seperti penyakit Addison, anemia, AIDS, gangguan alahan yang kronik seperti demam alergi atau lelah, malignan, diabetes, kegagalan jantung
  • Senaman berlebihan
  • Tekanan perasaan atau stres
  • Memandu lewat malam atau awal pagi, iaitu waktu yang pada kebiasaannya anda tidur.

Tanda-tanda keletihan
  • Kerap menguap dan mengantuk
  • Keliru dan pemikiran yang kabur
  • Murung dan mudah baran
  • Tindak balas dan reaksi yang lambat
  • Khayal atau berangan-angan
  • Sukar hendak membuka mata, terasa penat, sakit-sakit badan, mengawal stering sambil lewa
  • Tidak nampak lampu isyarat atau papan tanda
  • Gagal menumpukan perhatian
  • Tidak dapat mengingat apa yang berlaku dalam tempoh beberapa minit atau beberapa saat lalu
  • Badan atau kepala bergoyang-goyang kerana tersengguk-sengguk
  • Kereta terbabas atau termasuk ke lorong lain
  • Tersengguk-sengguk semasa memandu
  • Peningkatan sensitiviti mata terhadap cahaya (tidak dapat menahan silau cahaya).

Tips untuk diamalkan
  • Perlahankan kereta anda
  • Berhenti dan berehat di tempat yang sesuai
  • Berbual dengan penumpang jika ada
  • Pasangkan radio anda dan cuba menyanyi bersama-sama dengan alunan muzik yang dimainkan
  • Turunkan tingkap kereta agar udara segar dapat masuk atau pasangkan penghawa dingin pada tahap maksimum
  • Keluar dari kereta dan berjalan-jalan sekejap
  • Berhenti sekejap untuk minum
  • Berhenti rehat untuk mandi
  • Bermalam dahulu sebelum memulakan balik perjalanan yang jauh

Amalkan tabiat baru
  • Berhenti sekejap untuk berehat bagi setiap satu atau dua jam memandu
  • Berkongsi memandu dalam perjalanan yang jauh dan pastikan anda berehat apabila sampai giliran bertukar pemandu
  • Jika anda telah penat bekerja seharian, janganlah memandu untuk perjalanan yang jauh
  • Sesekali biarkan udara segar memasuki kereta anda kerana kereta yang sentiasa tertutup boleh membuatkan anda mengantuk
  • Rancanglah perjalanan anda dengan mengambil kira tempat-tempat persinggahan menarik yang boleh dilawati di sepanjang perjalanan
  • Awasi tanda-tanda yang menunjukkan anda mungkin letih seperti sakit-sakit badan, mata terasa penat dan tidak dapat menumpukan perhatian ketika memandu. Jika ini berlaku, berhenti dan berehatlah
  • Rancanglah untuk bermalam di sesuatu tempat jika anda dalam perjalanan yang jauh
  • Pastikan ubat-ubatan yang anda ambil tidak mempengaruhi keupayaan anda memandu. Dapatkan maklumat lengkap mengenainya daripada doktor atau pegawai farmasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan