WELLINGTON: Wanita yang mahu kehilangan berat badan tidak perlu bersusah payah mengamalkan diet sebaliknya cuma berada dalam keadaan rehat serta tenang, kata penyelidik.
Pada akhir kajian selama dua tahun, wanita yang mengikuti program yoga dan meditasi mencatatkan kehilangan berat badan dan kekal begitu sedangkan mereka yang memberi tumpuan kepada senaman dan mengehadkan pengambilan makanan semata-mata tidak menunjukkan sebarang kejayaan.
Wanita 'yang berada dalam keadaan tenang' juga secara umumnya lebih gembira dan sihat pada penghujung kajian. Pakar percaya penurunan tahap tekanan menghentikan keinginan kepada makanan berlemak dan manis.
Sepasukan penyelidik di Universiti Otago di New Zealand membahagikan 225 wanita dengan berat badan berlebihan kepada tiga kumpulan, menurut laporan dalam jurnal Preventive Medicine.
Kumpulan pertama mengambil bahagian dalam yoga, meditasi dan bayangan positif. Kumpulan kedua memberi tumpuan kepada senaman dan pengambilan makanan manakala yang ketiga menerima maklumat pemakanan secara pos.
Penulis bersama kajian, Dr Caroline Horwath berkata ketiga-tiga kumpulan itu berjaya menghalang sebarang pertambahan berat badan tetapi 'hasil paling memuaskan' berlaku pada kumpulan pertama - mereka kehilangan berat badan purata 2.5 kilogram.
Dr Horwath menambah: "Selama dua tahun, wanita ini cuma satu-satunya yang mengekalkan pembaikan psikologikal dan gejala perubatan.
"Dengan mengamalkan teknik bertenang sebagai sebahagian program pertukaran gaya hidup, wanita mempunyai kaedah berkesan menangani tekanan dan emosi tanpa terbabit dalam gaya pemakanan tidak sihat."
Kajian menunjukkan diet mungkin bukan cara terbaik mengurangkan berat badan dan Dr Horwath berkata, membantu wanita 'bebas dari diet kronik' adalah kunci kepada kesihatan jangka panjang. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan