Rabu, 27 Mei 2009

Asap rokok pengaruhi wanita lahirkan anak hiperaktif

Wanita yang terdedah kepada asap rokok semasa mengandung berisiko dapat anak mengalami masalah kesihatan terutamanya masalah hiperaktif.

Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed berkata masalah hiperaktif atau dalam istilah perubatan dipanggil 'Attention Deficit Hyperactivity Disorder' (ADHD) dikesan dialami oleh lapan sehingga 10 peratus kanak-kanak sekolah di negara ini.

"Kanak-kanak ADHD gemar bertindak sebelum berfikir, terlalu aktif dan sukar menumpukan perhatian terhadap sesuatu perkara," katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Bulan Bebas Tembakau peringkat Kampus Kesihatan USM di sini, hari ini.

Beliau berkata, ibu-ibu mengandung yang terdedah kepada situasi itu juga berisiko melahirkan anak yang kurang berat badan, cacat, lemah otak dan lahir tidak cukup bulan.

Kementerian Kesihatan melaporkan pada akhir 2006, jumlah perokok di Malaysia adalah seramai 3.8 juta.

Daripada jumlah itu Orang Melayu merupakan kategori perokok paling ramai iaitu 50 peratus berbanding Cina (21 peratus) dan India (9 peratus).

Dr Mafauzy berkata, setiap tahun kira-kira lima juta penduduk dunia mati akibat merokok dan di Malaysia, bilangan kematian akibat penyakit yang berkaitan dengan rokok adalah kira-kira 10,000 orang setahun.

"Sebanyak 30 peratus kematian adalah disebabkan kanser, 25 peratus sakit jantung dan 25 peratus strok.

"Dua pertiga daripada semua jenis penyakit kanser boleh dielakkan, dan caranya sangat mudah iaitu dengan berhenti merokok," katanya

Posted by harizamrry

Tiada ulasan:

Catat Ulasan