Rabu, 4 Februari 2009

Sikap Sayangkan Harta Sukarkan Operasi Bomba

KANGAR, 3 Feb - Sikap penduduk yang mahu menyelamatkan harta benda terlebih dahulu menjadi punca kesukaran Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk tiba lebih awal di lokasi kebakaran dan mengawal kebakaran dengan lebih pantas.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis Mohd Fadzil Haron berkata kebanyakan penduduk gemar menyelamatkan harta benda terlebih dahulu dan bukannya terus menghubungi bomba menyebabkan kebakaran gagal dikawal pada peringkat awal.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan dengan segera menghubungi bomba jika berlaku kebakaran bagi membolehkan usaha menyelamat yang pantas serta meminimumkan kerugian harta benda.

"Kebanyakan rumah di sekitar Perlis terdiri daripada rumah papan dan kadar kemusnahannya adalah lebih tinggi serta mengambil masa singkat iaitu antara lima dan tujuh minit untuk musnahkan keseluruhan rumah," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan tahunan jabatan itu di sini hari ini.

Mohd Fadzil berkata sebanyak 282 kes kebakaran bangunan dan harta benda berlaku di Perlis sepanjang tahun lepas membabitkan kerugian RM2.19 juta manakala harta benda yang dapat diselamatkan bernilai hampir RM14 juta.

"Kami juga menerima 218 panggilan menyelamat dan khidmat khas antaranya kemalangan jalan raya, bencana alam serta mencari dan menyelamat mangsa lemas," katanya. - bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan