Jumaat, 6 Februari 2009

Rokok jejas peluang dapat anak: Saintis


Kajian dakwa racun, asap rosak tubuh wanita


WASHINGTON: Wanita yang terdedah kepada asap rokok ketika zaman kanak-kanak dan remaja berisiko tinggi menghadapi masalah untuk hamil dan kerap mengalami keguguran berbanding wanita yang tidak menjadi perokok pasif ketika usia awal mereka.


Sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat berkata, toksin dalam asap boleh memusnahkan tubuh wanita secara kekal yang akan menyebabkan masalah kemudian. Mereka turut menyifatkan hasil penyelidikan dapat menyokong larangan merokok.


Luke Peppone daripada Universiti Rochester di New York, Dr. Kenneth Piazza yang bertugas di Institut Kanser Roswell Park di Buffalo, New York dan sekumpulan rakan mereka melakukan kajian itu terhadap 4,800 wanita di sekitar kawasan Roswell Park.

Mereka diminta memberikan perincian mengenai kehamilan, usaha untuk hamil dan masalah keguguran selain sejarah merokok dan menjadi perokok pasif.

Secara keseluruhan, 11 peratus wanita melaporkan masalah ketika kehamilan dan satu pertiga daripada mereka kehilangan satu atau lebih bayi, kata penyelidik terbabit dalam jurnal Tobacco Control.

Sebanyak 40 peratus melaporkan masalah di peringkat awal kehamilan (keguguran janin atau kesukaran untuk hamil)," kata mereka.

"Wanita yang mempunyai ibu bapa merokok di sekeliling mereka, mempunyai 26 peratus lebih berisiko untuk berhadapan dengan masalah kehamilan manakala mereka yang terdedah sebagai perokok pasif 39 peratus lebih berisiko untuk mendapat keguguran," kata kumpulan saintis Amerika itu.

Empat daripada lima wanita melaporkan terdedah sebagai perokok pasif sepanjang hidup mereka dan separuh membesar dalam rumah bersama ibu bapa yang merokok.

Kajian terdahulu mengaitkan merokok dengan keguguran, kecacatan kelahiran dan sindrom kematian bayi.
"Kesan penggunaan tembakau dan pendedahan kepadanya semasa hamil masih menjadi keutamaan kesihatan kerana 15 peratus ibu terus merokok tanpa hamil dan dianggarkan 43 juta wanita Amerika terdedah kepada asap rokok dari orang lain," katanya. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan