GEORGE TOWN - Selepas Burung Helang Merah, satu lagi spesies burung iaitu Burung Pucung Harimau dikesan di kawasan kampus Universiti Sains Malaysia (USM) dekat sini baru-baru ini.Burung Pucung Harimau yang juga dikenali sebagai Malayan Night Heron ditemui sejak dua minggu lalu oleh Pakar Burung, Zoologi dan Penyelidik USM, Mohamed Hifni Baharuddin.
Bercakap kepada pemberita pada sidang media di Pusat Ekologi universiti itu, Eco Hub, yang baru dilancarkan semalam, Mohamed Hifni memberitahu, burung itu ditemui buat kali pertama di kawasan Lembah Durian di sini.
"Saya sempat merekodkan gambar burung tersebut untuk penelitian lanjut. Sebelum ini burung itu dikatakan ditemui di Taman Templer, Selangor pada tahun 2008 tetapi tanpa rekod seperti foto.
"Di Pulau Pinang pula, ia pernah direkodkan ditemui lima hingga enam tahun dahulu di Penaga," katanya yang menjelaskan spesies itu istimewa kerana ia jarang dijumpai dan aneh berbanding dengan spesies burung pucung yang lain.Hifni seterusnya menerangkan, nama Malayan pada burung ini diberikan berikutan penemuan awalnya di kawasan Sumatera dan mungkin ia dilakukan oleh pakar yang tinggal di kawasan Semenanjung.
Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan